KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hari ini mengumumkan persaraannya dalam dunia badminton.

Persaraan tersebut dibuat berikutan masalah kesihatan yang dialami selain atas nasihat doktor.

MOHD RASFAN/AFP/Getty Images

Bekas pemain nombor 1 dunia yang disahkan menghidap penyakit kanser hidung tahun lalu berkata, keputusan itu diambil selepas pemeriksaan perubatan terbaru dilakukan di Taiwan.

Chong Wei dalam satu sidang akhbar di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya sebentar tadi menyifatkan keputusan itu merupakan satu yang sukar setelah menimbangkan selama sebulan.

MOHD RASFAN/AFP/Getty Images

“Saya mahu umumkan persaraan selepas 19 tahun mewarnai sukan ini. Ia keputusan yang sukar untuk saya lakukan.

“Pada awalnya sangat berat untuk saya buat keputusan ini kerana saya sangat menyayangi sukan ini. Tetapi kesihatan harus diutamakan dan selepas berbincang, akhirnya saya mengambil keputusan ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua BAM, KBS, MSN, ISN, jurulatih-jurulatih, semua media, keluarga saya dan yang paling penting untuk semua rakyat Malaysia yang sentiasa berikan sokongan kepada saya,” katanya sambil menitiskan air mata.

Pengumuman berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalannya, Steven Sim serta Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Chong Wei yang tiga kali meraih pingat perak di Sukan Olimpik berkata, sudah membincangkan hal itu dengan isterinya.

“Dia menasihatkan saya berehat. Saya berehat dan turut berbincang dengan (Menteri Belia dan Sukan) Syed Saddiq. Saya berkata, selepas Hari Raya, saya akan bersara,” kata Chong Wei .

Sumber: Kosmo, Sinar Harian, Astro Awani|Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL SUKAN

Video Popular