GEORGE TOWN – Malaysia memerlukan 200 lagi pakar neurologi untuk memastikan jumlah pesakit strok yang kian meningkat dengan menjadi penyakit pembunuh nombor tiga negara, akan mendapat rawatan yang secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan kajian pada tahun 2016, seramai 92 pesakit strok dimasukkan ke hospital setiap hari dan kini negara hanya mempunyai 107 pakar neurologi.

FMT / Gambar Hiasan

Menurut Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan mempunyai 50 pakar dan pelatih neurologi, hospital universiti mempunyai 33 pakar dan pelatih neurologi manakala seramai 24 pakar neurologi adalah daripada sektor swasta.

“Secara keseluruhan, 107 pakar neurologi memang tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada jumlah kes strok yang besar dan kita perlukan 200 pakar neurologi lagi tetapi bukan hanya tertumpu di hospital besar tetapi juga hospital-hospital lain,” katanya selepas merasmikan Persidangan Strok Malaysia yang pertama pada Sabtu yan lalu.

Tambahnya, rekod pada 2016 menunjukkan bahawa seramai 33,812 pesakit strok dimasukkan ke hospital dengan kos implikasi kepada kementerian adalah sebanyak RM180 juta.

legalik / Gambar Hiasan

Bagaimanapun, beliau berkata sasaran itu mungkin hanya akan tercapai dalam tempoh empat hingga enam tahun lagi kerana untuk melatih pakar neurologi ini mengambil masa yang panjang.

Katanya, buat masa ini, kementerian mengambil langkah dengan mengembangkan tenaga kepakaran dalam bidang lain yang sedia ada dan bukan hanya tertumpu kepada pakar neurologi untuk menangani pesakit strok.

Dr. Noor Hisham berkata, “Contohnya, sekiranya ada kes strok, pakar kecemasan boleh memberikan rawatan awal perkhidmatan strok di tempat kejadian terlebih dahulu sebelum pesakit dirujukkan kepada pakar neurologi.”

Oriental Daily

Tambahnya, “Sekarang ini perkhidmatan kita ‘cut across horizontal’, dan bukan lagi ‘vertical’ yang tertumpu kepada neurologi sahaja, tetapi kita juga memperkasakan pakar-pakar dalam bidang lain seperti klinik kesihatan, pakar perubatan keluarga, pakar kecemasan dan pakar perubatan am dalam membawa mereka bersama ketika rawatan pesakit strok.”

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, semua hospital di seluruh negeri mempunyai pakar neurologi kecuali di Kedah dan Perlis yang mana mereka juga akan dibekalkan tidak lama lagi.

“Kita sedang melatih 11 pelatih neurologi dan mungkin dalam setahun dua lagi mereka akan menjadi pakar dan kita merancang untuk menempatkan mereka di kedua-dua negeri ini,” katanya.

Sumber : Bernama, Oriental Daily, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular