NEW YORK – Bekas pengurus China International Airlines, Lin Ying mengaku bersalah di Mahkamah Persekutuan Daerah di New York, Amerika Syarikat pada 17 April apabila mengaku bekerja sebagai ejen kepada Parti Komunis China (PKC) dalam membantu anggota tentera dan kakitangan Kementerian Pertahanan Republik Rakyat China serta lain-lain anggota dari China semasa misi tetap PKC ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan menyeludup bagasi serta bungkusan yang tidak diperiksa dari New York dan kembali ke China.

Lin Ying, yang berusia 48 tahun telah menetap serta memperolehi kerakyatan Amerika Syarikat dan berkhidmat dengan China Air selama 14 tahun. Menurut kertas pertuduhan yang dinyatakan dalam mahkamah, tertuduh berkhidmat sebagai pengurus kaunter hadapan bagi China Air di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York yang menguruskan bagasi daftar masuk penumpang serta delegasi PKC termasuk pegawai rahsia dan ejen dari China. Lin Ying juga membantu mengumpul bagasi dan bungkusan daripada kakitangan di Konsulat China di New York yang “tidak diiringi’. Bagasi itu terus diseludup ke Beijing tanpa melalui imbasan dan pemeriksaan keselamatan.

Cai Rong/The Epoch Times

Di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Persekutuan Amerika Syarikat, sebarang daftar masuk bagasi bagi penumpang yang tidak menaiki pesawat merupakan satu kesalahan. China Air telah menyerahkan pelan keselamatan mereka kepada Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) pada tahun 2002, dengan bersetuju bahawa “bagasi daftar masuk hanya diterima daripada penumpang yang mempunyai tiket.”

Pendakwa raya mendakwa Lin Ying bertindak sebagai “ejen asing” antara tahun 2010 hingga 2016 bagi pihak Parti Komunis China sebanyak beberapa kali, tanpa pernah melaporkannya kepada TSA.

Selepas pertuduhan dibacakan, Lin Ying merakamkan pengakuan bersalah dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Ann Donnelly. Dalam pengakuan itu tertuduh mengaku bahawa dia bekerja di bawah China Air antara tahun 2002 hingga 2016 dan pada tahun 2009, menjadi pengurus China Air terutamanya dalam menguruskan tetamu VIP dari China, termasuk pelancong dan pegawai kerajaan yang sering ke luar negara.

Lin Ying berkhidmat untuk mereka dengan mengikut arahan serta menguruskan semua bagasi dan bungkusan yang dihantar ke Beijing dari New York seperti mana yang diarahkan. Katanya, “Saya mengikut arahan pegawai dan majikan saya (PKC dan China Air). Saya tidak memaklumkan kepada Peguam Negara Amerika Syarikat.”

Melaksanakan tugas untuk Parti Komunis China sebagai balasan dengan faedah.

Cai Rong/The Epoch Times

Sebagai balasan, pegawai-pegawai PKC telah memberi Lin Ying banyak faedah, termasuk mendapat keistimewaan membeli barangan dan alkohol bebas cukai dari kedai bebas cukai diplomatik serta peranti elektronik seperti komputer dan telefon pintar Apple, yang biasanya hanya dinikmati oleh kakitangan diplomatik. Lin Ying juga diberikan keistimewaan mengubah suai kediamannya di Queens secara percuma. Laporan menyebut bekas diplomat China Zhong Dan telah menghantar buruh paksa dari China untuk tujuan tersebut.

Pada bulan Ogos 2015, Lin Ying ditahan dan didakwa atas pertuduhan mendeposit sejumlah besar wang dengan sewenang-wenangnya dalam dua kelompok akaun pada bulan Ogos 2010. Lin Ying ditahan dan didakwa selepas pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah melakukan siasatan dan kemudian serbuan ke atasnya. Beberapa bukti dan keterangan telah berjaya dikumpul sehingga membawa kepada pendakwaan ke atas Lin Ying atas kesalahan penyeludupan, menghalang keadilan, penipuan transaksi dan kiriman, serta lain-lain kesalahan oleh juri besar persekutuan.

Antara lain, Lin Ying ditahan kerana melakukan jenayah menghalang keadilan pada 28 Oktober 2015, kerana disyaki membantu suspek dikehendaki kerajaan Amerika Syarikat bernama Qin Fei dengan meloloskan diri menaiki penerbangan melarikan diri pulang ke negara asal di China. Qin Fei disyaki menjadi dalang di belakang jutawan dari Macau, Wu Lisheng dalam kes rasuah bersama bekas Pengerusi Bangsa-Bangsa Bersatu John Ashe. FBI mengesyaki Qin Fei sebagai ejen PKC dan Lin Ying membantu Wu Lisheng dan Qin Fei melarikan diri dari rumah mewah mereka di Long Island.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian atas pengakuan bersalah, Lin Ying berkata dia hanya diiktiraf sebagai proksi kerajaan asing tanpa memberi notis kepada Menteri Kehakiman terlebih dahulu. Dalam erti kata lain, dia juga telah  bertindak sebagai ejen asing kerajaan tanpa pemberitahuan terlebih dahulu kepada Peguam Negara di Amerika Syarikat.

Lin Ying tidak didaftarkan sebagai ejen PKC, tetapi melakukan kerja-kerja di bawah perintah PKC. Pihak pendakwaan telah melepaskan semua pertuduhan lain selepas pengakuan bersalah Lin Ying direkodkan.

Cai Rong/The Epoch Times

Pendakwa Raya Persekutuan Daerah Timur New York Richard Donoghue berkata, “Defendan bertindak sebagai ejen kerajaan China untuk membantu pegawai-pegawai dari China dengan menghantar bagasi dari New York ke Beijing, dengan niat mengelak sekatan dan larangan yang dikenakan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat. Kes ini menunjukkan negara ini sedang menghadapi ancaman serius risikan balas seperti yang dilakukan oleh mereka yang bekerja bagi pihak kerajaan China di Amerika Syarikat. “

Penolong Peguam Negara, John C. Demers berkata, “Kes ini adalah contoh jelas kerajaan China menggunakan pekerja China yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang di Amerika Syarikat. Ia merupakan satu tindakan jenayah dalam cubaan menyembunyikan persaingan ketenteraan China di tanah Amerika Syarikat. Lin Ying dan syarikat perusahaan dari negara China telah dipergunakan oleh Parti Komunis China bagi meloloskan diri dari pemantauan dan sekatan menurut undang-undang yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat.”

Lin Ying memberitahu rakan sekerja bahawa “kesetiaan diutamakan” kepada Parti Komunis China

Cai Rong/The Epoch Times

Lin Ying memberi bantuan untuk melepaskan bagasi dan bungkusan ketenteraan dari pemeriksaan keselamatan tetapi pihak pendakwaan tidak menjelaskan secara terperinci di dalam kertas pertuduhuan. Walau bagaimanapun, menurut dakwaan itu, Lin Ying memberitahu kakitangan China Air yang lain untuk membantu pegawai PKC, kerana syarikat penerbangan China perlu menyatakan “kesetiaan diutamakan” kepada kerajaan China. Syarikat penerbangan itu berasal dari China, maka mereka perlu menyatakan kesetiaan yang utama kepada Republik Rakyat China.

Di samping menghadapi hukuman penjara maksimum 10 tahun, Lin Ying bersetuju untuk menyerahkan hartanya yang bernilai USD$145,000 (RM599,212) kepada kerajaan Amerika Syarikat. Lin Ying memohon kerakyatan Amerika Syarikat dengan status naturalisasi tetapi telah diberi amaran bahawa sekiranya dia didapati menyembunyikan dan membuat penipuan fakta ketika memohon status naturalisasi, kerajaan Amerika Syarikat berhak membatalkan kewarganegaraannya dengan serta merta.

Penolong Pengarah Rizab Persekutuan Melendez berkata, “Lin Ying telah mengagihkan bagasi di lapangan terbang paling sibuk di Amerika Syarikat dengan menggunakan kuasanya untuk membantu kerajaan China serta menghalang langkah-langkah keselamatan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat. Pihak kami berharap kes ini akan menjadi contoh di mana kerajaan China atau mana-mana kerajaan asing yang lain tidak boleh terlepas selepas melanggar undang-undang negara kami tanpa dikenakan hukuman.”

Hakim mengumumkan tarikh hukuman ke atas Lin Ying ditetapkan pada 10 September tahun ini. Anak perempuan Lin Ying turut menghadiri bacaan pertuduhan dan perbicaraan tersebut. Lin Ying dan peguamnya enggan mengulas lanjut.

Era Baru

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular