Siapa yang tidak menjadi sebak apabila dapat bertemu semula dengan ahli keluarga setelah terpisah selama puluhan tahun. Seorang lelaki yang menjadi mangsa penculikan sejak 31 tahun lalu akhirnya dipertemukan dengan ibu bapa kandungnya di sebuah perkampungan di wilayah Sichuan, barat daya China. Lelaki ini telah diraikan dalam satu acara pertemuan semula menyayat hati yang disambut oleh saudara-maranya dan seluruh penduduk kampung.

Nama asal Qin Yujie ialah Cheng Xueping yang telah diculik oleh sekumpulan penjenayah ketika dia berusia 3 tahun pada tahun 1988. Dalam pertemuan semula menyayat hati ini, Qin Yujie telah dipeluk erat dengan raungan tangisan oleh ibu bapanya sebaik sahaja melihat kelibat anak mereka yang diiringi sepasukan polis.

Seluruh penduduk perkampungan Chengjiawan juga menyambut Qin Yujie dengan meletak sepanduk dan tanda ‘Selamat Pulang’ serta meraikan kepulangannya dengan nyalaan mercun dan bunga api.

Sambil memeluk ibu bapanya, Cheng Jiguang dan Gaolingzhen yang tidak dapat menahan rasa rindu, Qin Yujie telah berkata, “Saya mencari kamu berdua selama bertahun-tahun tetapi tidak menemui apa-apa petunjuk.”

Disamping dapat bertemu semula dengan anak lelaki mereka, pasangan warga emas ini juga turut dapat bertemu dengan menantu dan cucu mereka buat pertama kali. Melihat saat pertemuan semula itu, ramai yang telah menjadi sebak dan menitiskan air mata.

Pada hari penculikan tahun 1988 itu, Qin telah diculik oleh penjenayah yang tidak dikenali di wilayah Guizhou, selatan China ketika ibu bapanya sedang bekerja. Selepas kehilangan anak lelaki mereka, ibu bapa Qin telah mencarinya selama berjam-jam lamanya pada hari itu, dan semenjak itu pasangan ini telah menghabiskan wang simpanan sehingga terpaksa meminjam serta menjelajah ke seluruh China demi untuk menjejaki semula anak mereka yang hilang.

Akhirnya dengan kemajuan teknologi penyediaan sampel DNA dalam data DNA kebangsaan, pihak polis telah dapat memberikan bantuan dalam pencarian kanak-kanak hilang dan menjadi mangsa penculikan di China.

Selepas tiga dekad, pasangan ini telah dapat mengetahui kebenaran bahawa anak mereka telah diculik dan dijual kepada sebuah keluarga di perkampungan yang terletak di wilayah Hebei.

Qin Yujie membesar dengan perasaan yang berbeza ketika berada di rumah barunya. Dia merasakan dirinya amat berbeza dengan kanak-kanak tempatan. Beberapa perkataan yang diucapnya juga kadangkala terasa seperti berbeza. Selepas bertahun-tahun lamanya, akhirnya dia menyedari ‘bapa’ yang membesarkannya bukan bapa kandungnya dan sejak itu Qin mula mencari ibu bapa kandung dan asal-usulnya.

Pada tahun 2018, sampel DNA Qin yang telah dihantar kepada majikannya telah membongkar satu keputusan yang mengejutkan. Pihak polis telah menemui sampel DNA Qin yang sepadan dengan sampel DNA yang telah diberikan oleh bapa kandungnya Cheng Jiguang.

Pihak polis telah menjejaki Qin dan menghubungi keluarga Cheng untuk menyediakan tambahan sampel DNA bagi mengesahkan kesasihan kesepadanan DNA tersebut. Akhirnya pada bulan Februari, keputusan terbaru telah mengesahkan bahawa Cheng dan Gao adalah ibu bapa kandung Qin Jujie atau Cheng Xueping.

Rakaman video pertemuan semula ibu bapa dan anak lelaki ini telah menyentuh hati banyak pihak dan menjadi tular di ruangan media sosial di China.

Penculikan kanak-kanak dan wanita di China sudah menjadi kes jenayah yang lazim di China. Pada bulan Disember 2018, dua penculik yang memperdagangkan kanak-kanak, Zhang Weiping dan Zhou Rongping telah dijatuhi hukuman mati kerana peranan mereka dalam sindiket menjual sembilan orang kanak-kanak di antara tahun 2003 sehingga 2005.

Dalam salah satu kes, ahli kumpulan mereka telah memecah masuk sebuah rumah, mengikat seorang wanita dan membawa lari anaknya supaya dia dapat dijual menerusi orang tengah. Zhang dan Zhou serta ahli kumpulannya akhirnya telah ditangkap pada tahun 2016.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kementerian Keselamatan Awam di China telah melancarkan satu sistem yang dipanggil ‘Tuanyuan’ yang membantu kanak-kanak hilang dan telah diculik untuk mencari ibu bapa kandung mereka. Sistem yang mula diaktifkan sejak 2016 itu menyamai sistem ‘Amber Alert’ di Amerika Syarikat, juga menyediakan informasi mengenai kanak-kanak yang diculik menerusi platform media sosial dan mesej telefon pintar.

Sehingga bulan Mei 2018, media di China melaporkan sistem ini telah menerbitkan sebanyak 3,053 informasi mengenai kanak-kanak hilang dan telah membantu menemukan semula 2,980 kanak-kanak yang hilang.

Sebuah laman sesawang yang dikenali Baobeihuijia telah melaporkan terdapat 43,858 keluarga di China yang masih mencari anak mereka yang hilang sementara 39,446 orang hilang masih mencari keluarga kandung mereka.

Sumber : South China Morning Post

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular