Seorang wanita yang juga pengamal Falun Gong meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah secara dalaman dipercayai akibat didera dan diseksa ketika berada dalam tahanan penjara. Tiga bulan selepas dibebaskan dari penjara yang menahannya kerana mengamalkan kepercayaan Sejati, Baik, Sabar.

Sebelum mengalah kepada penderitaan menahan kesakitan dan kecederaan yang tidak terhingga, Liu Zhenfang telah memfailkan aduan jenayah dan menceritakan pengalaman pahit ketika berada di dalam penjara. Liu Zhenfang memberi butiran bagaimana rejim komunis China telah cuba memusnahkan tubuh badannya secara perlahan-lahan, tetapi dia enggan mengubah kepercayaannya yang telah diamalkan selama lebih 20 tahun.

Minghui.org / Gambar Hiasan

Liu Zhenfang yang merupakan seorang warga emas berusia 60 tahun yang berasal dari Huangchuan, Wilayah Henan telah menghembuskan nafas terakhir pada 7 Disember, 2018 selepas dibebaskan dari Penjara Wanita Henan. Sebelum itu, Liu ditahan dan diseksa di dalam penjara tersebut kerana menjadi pengamal Falun Gong.

Semasa dibebaskan, tubuh badan Liu sudah kurus kering dengan kebanyakan organ dalaman yang telah rosak akibat seksaan dan diracuni.

Pada tahun 2017, Liu telah dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun enam bulan kerana mengamalkan kepercayaan Falun Gong, yang berpegang kepada prinsip Sejati, Baik, Sabar. Satu kepercayaan yang tidak disenangi oleh rejim komunis China sejak dari tahun 1999 sehingga ke hari ini.

Satu penganiayaan kepada Falun Gong

Liu Zhenfang yang mencari rezeki sebagai seorang penggaya rambut mula menjadi pengamal Falun Gong pada tahun 1998 selepas mendapat tahu kebaikan dan manfaat ajaran itu kepada kesihatan dalaman, ketika zaman sistem penjagaan kesihatan di China adalah sangat ketinggalan.

Falun Gong adalah satu amalan spiritual yang merangkumi set lengkap latihan meditasi dan teks yang mengajar pengamalnya kepada akhlak yang baik, mengandungi falsafah moral dengan elemen Buddha dan Taoisme, serta amalan tradisional kuno qigong yang telah lama diamalkan di China.

The Epoch Times / Gambar Hiasan

Pada zaman pemerintahan Parti Komunis China yang dipimpin oleh Jiang Zemin, diktator ini telah melancarkan satu kempen penghapusan yang sistematik bagi menghancurkan amalan Falun Gong pada tahun 1999. Para pengamal Falun Gong telah ditangkap, dianiayai, diseksa dan dibunuh. Liu Zhenfang antara ribuan pengamal yang enggan mengubah pendirian dan kepercayaan sehingga menjadi sasaran pihak berkuasa. Rumahnya telah digeledah oleh pihak polis sebanyak tiga kali antara tahun 1999 dan 2003.

Pada awal tahun 2000, Liu telah ditahan di Pusat Tahanan Hedian, di mana pihak polis telah memeras ugut 2,000 yuan (RM1,200) daripada Liu sebelum dia dibebaskan.

Ketika penahanan kali kedua pada tahun 2001, Liu telah menyaksikan pihak polis membawanya ke satu tempat tahanan rahsia selepas menemui bahan berkaitan ajaran Falun Gong di dalam rumahnya. Liu telah dipaksa untuk berdiri sepanjang malam tanpa dibenarkan untuk berehat, dan pihak polis telah mengambil semua wang yang dibawa oleh Liu.

Pihak polis telah menyiasat Liu dan bertanyakan sumber dari mana bahan itu didapati, dan Liu telah dipukul ketika soal siasat selama 20 jam itu sedang berjalan kerana dia terus mendiamkan diri. Kepalanya telah dihentak ke dinding, rambutnya telah ditarik dengan cara yang ganas sehingga mencederakan kulit kepalanya. Kedua tangannya telah digantung di rangka pintu sebelum dipukul sehingga dia muntah darah.

Minghui.org / Gambar Hiasan

Liu kemudian sekali lagi telah dibawa ke Pusat Tahanan Hedian dan telah ditahan selama tiga bulan, sebelum dia dibebaskan setelah ahli keluarganya membayar sejumlah wang kepada penolong pengarah Bahagian Keselamatan Domestik.

Pada tahun 2004, Liu Zhenfang telah ditahan kerana kesalahan mengedar bahan mengenai Falun Gong. Ketika di dalam penjara, Liu telah dipukul selama 16 jam oleh pihak polis dari Jabatan Polis Guangshan.

Mereka telah menarik rambutnya dan mengoyakkan pakaiannya. Setelah bosan memukul Liu dengan tangan, pihak polis telah menggunakan bahan pemukul yang diperbuat daripada logam besi, dan mereka memukulnya secara bergilir-gilir sehingga pemukul besi itu patah. Kemudian mereka mengambil batang besi yang patah itu untuk memukul dan mencederakan jari jemarinya.

Seterusnya, Liu Zhenfang telah dibawa ke Pusat Tahanan Guangshan di mana dia telah dipukul selama 33 jam. Organ dalamannya telah rosak teruk berikutan serangan bertalu-talu sehingga dia muntah darah.

Namun begitu, Liu Zhenfang terus bertahan dan terselamat walaupun telah diseksa dengan begitu teruk sekali.

The Georgia Straight / Gambar Hiasan

Pihak polis juga menahan suami Liu pada tahun 2004 selama 5 bulan, walaupun dia tidak pernah menjadi pengamal Falun Gong. Suami Liu telah ditahan di dalam penjara dan dijadikan buruh paksa dengan diberi makan sebanyak 1 kali sehari. Pengawal penjara telah menyeksanya di dalam penjara dengan kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.

Liu Zhenfang telah ditangkap sekali lagi pada tahun 2012. Kali ini Liu telah dijatuhi hukuman 5 tahun penjara, di mana pengalaman pahitnya seperti tidak berkesudahan. Walaupun mengalami kecederaan yang amat teruk, Liu telah dipaksa untuk bekerja selama 14 jam sehari.

Pada tahun 2017, Liu Zhenfang sekali lagi telah dijatuhi dengan hukuman penjara selama satu tahun enam bulan dan ini adalah hukuman penjara terakhir buatnya yang telah mengambil nyawa, selepas dibebaskan tiga bulan kemudian.

Semasa sedang menjalani hukuman penjara ini, Liu yang semakin uzur telah didera secara fizikal, disuntik dengan dadah yang merosakkan sistem badannya, dijadikan buruh paksa, dipaksa berdiri selama beberapa hari tanpa dibenarkan tidur, dan diberi hukuman mencangkung dengan tangan diletakkan di atas kepala. Hukuman kejam kepada seorang warga tua.

Minghui.org / Gambar Hiasan

Sebelum penganiayaan kepada Falun Gong, dianggarkan terdapat kira-kira 70 juta hingga 100 juta pengikut yang mengamalkan ajaran Falun Gong di seluruh China. Pengikut ini termasuk dari kalangan mereka yang menjadi ahli parti komunis China sendiri.

Sumber : The Epoch Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular