Menerusi Operasi Halangan Petak Parking yang dilaksanakan pada 26 Januari lalu, pasukan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan telah mengambil tindakan terhadap penduduk di sekitar Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang meletakkan halangan pada petak parkir kereta yang disediakan.

Tindakan yang dilakukan oleh penduduk itu dikategorikan sebagai cubaan menanda dan memonopoli petak parkir awam.

DBKL

Pengarah Penguatkuasa DBKL, Azman Mahmood berkata, setiap parkir yang disediakan adalah kemudahan awam untuk semua penduduk dan bukan parkir tetap untuk mereka.

“Konsepnya mudah, siapa cepat dia dapat parkir berkenaan dan ruang itu disediakan untuk semua penduduk di kawasan berkenaan.

“Parkir berkenaan tidak boleh dikuasai atau dimonopoli pihak tertentu dengan meletakkan objek sebagai penanda atau ‘booking’.

“Sekiranya ada penduduk menggunakan satu petak parkir hari ini, belum tentu pada keesokan harinya atau hari akan datang parkir berkenaan adalah untuk kegunaan penduduk itu sahaja,” katanya ketika dihubungi oleh My Metro pada Ahad, 27 Januari.

Azman berkata, dalam operasi yang dimulakan pada jam 8 pagi hingga 4 petang itu, pihaknya telah mengalihkan pelbagai jenis objek seperti tong minyak, tong cat, bekas minyak hitam, tong sampah, tayar dan tong yang mengandungi kayu dan besi yang diletakkan oleh sebahagian penduduk di kawasan petak parkir.

Gambar Hiasan/New Straits Times

“Parkir disediakan adalah percuma untuk kegunaan semua penduduk dan tidak dimiliki oleh sesiapapun.

“Perbuatan meletakkan objek sebagai petunjuk parkir berkenaan adalah miliknya merupakan perlakuan yang salah dan boleh dikenakan tindakan,” tambahnya.

Beliau berkata, pihaknya percaya kegiatan memonopoli parkir turut berlaku di beberapa kawasan kediaman khususnya sekitar rumah pangsa, rumah kedai, pusat perniagaan dan kedai makan di seluruh Kuala Lumpur dan akan terus melakukan pemantauan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sumber: My Metro

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds