KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih oleh Majlis Raja-raja sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung di Istana Negara hari ini. Kenyataan rasmi mengenai perlantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Sementara itu, Timbalan Yang di-Pertuan Agong kekal milik Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja tersebut dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mengambil tempat di Istana Negara jam 11.15 pagi tadi dan dihadiri lapan daripada sembilan Raja-raja Melayu tanpa kehadiran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

BERNAMA

Mesyuarat berkenaan berakhir 12.57 tengahari apabila Sultan Abdullah yang terakhir keluar dari Istana Negara dengan dilihat tersenyum dan melambai kearah para wartawan di luar perkarangan Istana Negara.

Majlis Raja-raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan, menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Memetik sumber daripada laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja

Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Baginda.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Sumber: Sinar Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds