Kisah mengenai sebuah kenderaan SUV putih yang terjunam masuk ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini masih lagi mengejutkan kita semua. Mayat mangsa akhirnya berjaya dibawa keluar pada pagi 23 Januari dan penularan gambar keadaan mangsa benar-benar menyayat hati kita semua.

Mangsa dikenali sebagai Moey Yun Peng dilaporkan berada dalam keadaan tangannya masih memegang pemegang pintu dengan tali pinggang keselamatan yang masih dipakai sekali gus menunjukkan bahawa mangsa cuba untuk meloloskan dirinya daripada kereta yang terbenam itu sehingga ke saat akhir.

Kredit: The Sun Daily

Kejadian yang meruntun hati ini membuatkan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang iaitu Saadon Mokhtar mengambil keputusan untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat tentang cara-cara untuk melepaskan diri daripada kereta yang tenggelam.

Dalam satu wawancara bersama Oriental Daily, Saadon memaklumkan bahawa kebanyakan kenderaan tidak akan tenggelam dengan serta-merta setelah terjunam ke dalam air. Bagaimanapun, untuk membolehkan semua penumpang berjaya melepaskan diri sebelum kenderaan itu tenggelam sepenuhnya adalah satu perkara yang sangat kritikal.

Kredit: Oriental Daily

“Jika pemandu masih dalam keadaan sedar, dia perlu mencari cara untuk memecahkan tingkap bagi melepaskan diri daripada kereta. Setiap kereta mempunyai bahagian penyandar kepala yang boleh digunakan untuk memecahkan tingkap.”

Jelas Saadon lagi, seandainya kenderaan tersebut berada dalam keadaan separuh tenggelam, percubaan untuk membuka pintu akan menjadi sukar disebabkan oleh tekanan dari bahagian luar.

Kredit: Oriental Daily

Oleh demikian, adalah penting bagi setiap pemandu untuk menenangkan diri dan menyimpan tenaga mereka untuk merancang tindakan seterusnya. Bagaimanapun, jika pemandu tidak sedarkan diri pada ketika itu, dukacita dimaklumkan tidak banyak yang boleh dilakukan untuk melepaskan diri daripada situasi genting berkenaan.

Sementara itu, Saadon turut mengulas lanjut mengenai kritikan yang diberikan terhadap pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan menjelaskan bahawa para penyelam terpaksa melakukan misi penyelamatan ini di dalam keadaan serba gelap sekali gus mengakibatkan tahap penglihatan mereka adalah rendah.

Kredit: The Edge Market

“Disebabkan oleh tekanan air, setiap penyelam dengan gear penuh hanya boleh menyelam pada kedalaman 30 meter untuk tempoh kurang daripada lima minit. Disebabkan itulah seramai 40 penyelam terpaksa bergilir-gilir untuk menyelam pada kedalaman 15 meter dan berada di sana hanya untuk 20 minit sahaja.”

Selain itu, arus air yang deras turut menyukarkan lagi operasi mencari dan menyelamat ini di samping boleh membahayakan nyawa pasukan penyelam. Salah seorang penyelam turut mendedahkan bahawa bahagian hadapan kereta SUV itu sudah diselaputi lumpur laut dan menyebabkan proses untuk membawa mayat ke darat menjadi lebih sukar.

Semoga keluarga dan rakan-rakan mangsa dapat bersabar dan mendoakan yang baik-baik sahaja demi kesejahteraan mangsa.

Sumber: World of BuzzOriental Daily

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular