KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan bantuan kewangan secara terus kepada ibu bapa yang mempunyai bayi baharu lahir di negeri ini.

Bantuan kewangan itu sebagai tambahan kepada pemberian RM1,000 untuk setiap bayi yang lahir di Sarawak bermula tahun ini menerusi ‘Endowment Fund Sarawak’ (EFS).

Dividen EFS tersebut walau bagaimanapun hanya boleh dikeluarkan selepas 18 tahun bagi tujuan membiayai yuran pengajian tinggi, termasuklah digunakan sebagai modal permulaan perniagaan.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, bantuan kepada ibu bapa yang mempunyai bayi baharu lahir bagaimanapun hanya akan diputuskan menjelang akhir tahun ini selepas mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Gambar: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg

“Saya juga mendengar cadangan agar kerajaan negeri juga menyediakan bantuan kepada ibu bapa untuk penyediaan keperluan bayi. Saya akan pertimbangkan jika kita ada sumber kewangan yang cukup. Insya-Allah, jika pendapatan kerajaan negeri meningkat, kita mahu berkongsi kembali bersama rakyat.

“Sebab itulah saya membuat keputusan memperkenalkan cukai jualan petroleum bertujuan meningkatkan pendapatan Sarawak pada masa akan datang,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Penyampaian EFS, di sini, Rabu lepas.

Seramai 55 bayi baharu lahir di seluruh Sarawak telah direkodkan bermula 1 hingga 7 Januari lalu.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dalam sesi pembentangan belanjawan Sarawak pada November lalu, kerajaan negeri mengumumkan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi EFS untuk disumbangkan kepada 40,000 bayi yang dijangka lahir tahun ini.

Menurut Abang Johari lagi, ilham memperkenalkan EFS dibuat berdasarkan pengalaman peribadinya menyelesaikan masalah kewangan keluarga kurang berkemampuan namun mempunyai anak yang pandai dalam bidang akademik.

“Alhamdulillah, saya berjaya menyelesaikan masalah kewangan mereka, terutama dalam menyediakan wang mencukupi untuk tiket penerbangan dan yuran semester. Jadi, saya tidak mahu lagi melihat potensi anak Sarawak yang pandai dibiarkan kerana keluarga tidak cukup wang,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN ONLINE

Maybe you're interested :

Share

Video Popular