Ini adalah kisah menyentuh hati mengenai seekor anjing jalanan bernama Becky yang telah menyelamatkan individu daripada terlibat dalam satu insiden yang boleh membahayakan nyawanya.

Anda pasti pernah mendengar pepatah, “budi yang baik akan dibalas dengan perkara yang baik” bukan? Dalam erti kata lain, sekiranya kita sering menolong orang mahupun haiwan yang dalam kesusahan, suatu hari nanti pasti kita juga akan dibantu apabila kita memerlukannya.

Begitulah yang terjadi kepada Becky dan Jaquelyne. Menurut perkongsian Jaquelyne, Becky adalah seekor anjing jalanan yang gemar duduk di belakang kedai kek miliknya. Hal ini demikian kerana Jaquelyne merupakan seorang pencinta haiwan terutamanya haiwan terbiar yang tidak bertuan.

Selain anjing, Jaquelyne turut memberi makan kepada kucing liar lain di belakang dapur kedai keknya.

“Becky suka duduk di belakang dapur kedai kek saya kerana di sinilah saya beri anjing dan kucing terbiar makan. Mula-mula seekor sahaja, lama-kelamaan makin banyak pula yang datang.”

Jelas Jaquelyne lagi, Becky merupakan haiwan pertama yang datang ke kedainya. Malah, setiap kali dia ke kedai, Becky akan menyambut kedatangannya dengan penuh mesra.

Meskipun dibenarkan tinggal di belakang dapur, Becky adalah seekor anjing yang sangat baik dan patuh serta tidak pernah bertindak nakal dengan masuk ke dalam kawasan dapur.

“Ketika pertama kali Becky datang pada April tahun lepas, kakinya patah. Jadi, saya yang merawatnya sendiri sehingga Becky boleh berjalan semula. Sejak itu, Becky tidak lari pergi ke tempat lain dan hanya akan tinggal di sini. Kalau saya pulang ke rumah, Becky akan menghantar saya dan kembali semula ke kedai.”

Amboi, mendengarkan pengakuan dari Jaquelyne sahaja membuatkan kita sudah mengagumi anjing yang baik hati ini. Sungguh berbudi pekerti!

Kedua-duanya hidup bahagia seperti biasa sehinggalah satu insiden berlaku yang hampir membahayakan nyawa Jaquelyne.

Pada suatu hari, Jaquelyne yang sedang nyenyak tidur telah dikejutkan dengan bunyi Becky sedang mencakar pintu biliknya. Jam pada ketika itu menunjukkan pukul 12 tengah malam dan Becky kelihatan mundar-mandir di sekeliling rumah itu.

Becky dikatakan turun naik tangga berulang-ulang kali seolah-olah ingin memberitahu sesuatu berita buruk sedang berlaku.

Khuatir dengan tingkah laku Becky, Jaquelyne memutuskan untuk mengikut Becky pergi ke kedainya. Setibanya di kedai, serta-merta Becky tercium bau gas yang sangat kuat dari arah dapurnya.

Dalam keadaan cemas, Jaquelyne segera berlari semula ke rumahnya untuk mengambil kunci kedai dan memeriksa apa yang telah berlaku. Pada saat itulah dia menyedari bahawa bahagian kepala tong gas sudah longgar dan bocor.

“Saya sangat bersyukur. Tuhan sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya. Jika Becky tiada, mungkin perkara yang buruk akan berlaku.”

Disebabkan oleh kejadian itu, Becky telah dijadikan sebagai anjing peliharaan Jaquelyne dan kini menjadi haiwan kesayangan keluarga itu.

Selain daripada kejadian gas bocor itu, Becky juga pernah menyelamatkan rumah abang Jaquelyne daripada dimasuki pencuri.

“Sehari sebelum Hari Natal, kami semua jalan pergi ke rumah kakak. Kemudian, jiran telefon untuk memberitahu ada pencuri masuk ke dalam kawasan rumah abang saya.”

Cerita Jaquelyne lagi, “Jiran saya terjaga ketika mendengar nyalakan Becky yang tidak henti-henti. Apabila mereka keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku, mereka nampak ada orang tidak dikenali lari keluar dari rumah abang saya.”

Becky sememangnya anjing yang satu dalam seribu. Keperibadian, keberanian serta sikap pelindungnya ini benar-benar membuatkan sesiapa sahaja akan menyukai Becky dan menyayangi anjing ini.

Kesimpulannya, janganlah kita sesekali mengabaikan haiwan liar lain yang tidak bertuan. Mereka juga sama seperti manusia, ada yang bernasib baik dan ada yang tidak. Jadi, layanlah setiap makhluk ciptaan Tuhan seadil mungkin dan jangan menindas mereka!

Sumber: Facebook Grandma’s Choice

Maybe you're interested :

Share
Kategori: HIBURAN INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 09 seconds