Sebagai ibu bapa, kita seharusnya mendidik anak-anak sejak kecil lagi kerana kanak-kanak secara umumnya seperti ‘span’ yang menyerap sahaja semua perkara yang berlaku di sekeliling mereka, lebih-lebih lagi aspek percakapan dan perbuatan orang tua mereka.

Jadi, para ibu bapa di luar sana harus memastikan bahawa sikap dan tutur kata kita sentiasa tersusun bagi mengelakkan kanak-kanak terikut-ikut akan perkara yang tidak elok. Konsep hidup sudah semestinya perlu dijelaskan kepada mereka agar mereka kelak membesar menjadi insan yang berguna.

Seorang lelaki, Hafizul Hakim, berkongsi pengalaman bersama dengan anak lelakinya di Facebook, di mana anaknya bertanya, “Ayah, adakah kita miskin?” Soalan yang diterimanya itu membuatkan si bapa menanyakan sebab soalan itu ditanyakan. Anaknya kemudian berkata rakan-rakan berkata, “Jika seseorang itu menunggang motosikal, maka orang itu adalah miskin.”

Kredit: Hafizul Hakim

Terkesan dengan apa yang dialami anaknya, bapa tersebut pun menanyakan kepada anaknya itu sama ada anaknya itu tahu akan ertinya hidup dalam keadaan yang miskin kerana dia ingin memastikan anaknya itu benar-benar tahu makna ‘miskin’.

Jawab anaknya, “Erm..mereka tidak mendapat makanan yang mencukupi, tidur di bawah jambatan, tidak mandi dan memakai pakaian yang koyak.” Hafizul kemudian bertanya, “Jadi, kita ini miskinkah?”.”Tidak, saya makan dengan banyak, ada katil, selalu mandi, baju pun tak koyak,” jawab si anak.

Setelah mendengar penjelasan anaknya itu, Hafizul dapat menyimpulkan bahawa menunggang motosikal bukanlah bermakna seseorang itu miskin. Kadang kala, mereka yang memiliki kereta juga akan dilanda dengan pelbagai masalah seperti bayaran pinjaman, kos servis dan banyak lagi.

“Ayah masih belum kaya lagi dan harus bekerja untuk membayar rumah, beli lampin dan makanan”, tambah Hafizul. Anaknya itu kemudian mengangguk faham setelah mengetahui makna sebenar menjadi miskin. Besar kemungkinan anaknya itu keliru dan perlu sedikit penjelasan selepas rakannya berkata bahawa orang miskin hanya menunggang motosikal.

Kredit: Hafizul Hakim

Jadi kesimpulannya, komunikasi yang berkualiti dan berkesan adalah perlu di antara ibu bapa dan anak-anak agar ia dapat memberikan gambaran yang jelas tentang sesuatu perkara kepada anak-anak kita, selain dapat mengeratkan hubungan sesama sendiri.

Sumber: Hafizul Hakim

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds