Pakar sakit tulang yang sememangnya dikenali di Malaysia, Chris Leong, dan kumpulannya baru-baru ini telah ditangkap oleh pihak Kementerian Hak Asasi Manusia Indonesia kerana dituduh melanggar peraturan berkaitan dengan visa. Penangkapan tersebut dibuat di hotel bertaraf empat bintang di Palembang.

Kredit: Antara Sumsel

Menurut The Star dan China Press, 20 orang individu telah ditahan semasa serbuan dilakukan pada 8 Januari yang lalu, dan 16 orang daripadanya merupakan sukarelawan untuk agensi Chris Leong Method (CLM) yang berpangkalan di Malaysia. Manakala tahanan selebihnya adalah dari Hong Kong, Ireland, dan Belgium. Difahamkan bahawa mereka telah melanggar undang-undang dengan memberi rawatan kepada penduduk tempatan tanpa pas kerja.

Walaupun kumpulan berkenaan menjelaskan bahawa kerja mereka itu adalah kerja amal, namun hasil penemuan yang dilakukan oleh agen penyiasat yang dihantar oleh Jabatan Imigresen negara itu mendapati kumpulan berkenaan menjalankan perkhidmatan rawatan secara komersial. Siasatan mendapati bahawa agen yang menyamar sebagai pesakit telah diminta bayaran kira-kira 4.5 juta Rupiah (RM1,300) untuk rawatan berkenaan.

Penangkapan mereka kemudian telah menyebabkan para pelanggannya yang lain berasa bimbang kerana mereka telah pun membuat bayaran kepada agensi berkenaan bagi mendapatkan rawatan. Chris Leong menerusi laman Facebooknya telah memberikan kenyataan balas bahawa pihaknya akan membuat bayaran balik kepada pelanggan yang telah membuat bayaran.

“Kami tahu anda bimbang. Kami minta maaf kerana lawatan ke Jakarta dan Surabaya terpaksa dibatalkan. Kami akan menjalankan proses bayaran balik wang kepada anda. Kami mohon jasa baik anda untuk memberikan kami sedikit masa dan anda akan menerima teks atau email daripada kami kelak. Maaf atas sebarang kesulitan,” kata Chris.

Kredit: Antara Sumsel

Siasatan awal mendedahkan bahawa para sukarelawan itu telah memasuki Indonesia pada 5 Januari lalu. Ketua Jabatan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia, Sudirman, menjelaskan bahawa kesemua individu yang ditahan akan diusir pulang ke negara masing-masing.

Semoga Chris dan kumpulannya dapat menyelesaikan segera isu tersebut dan pulang ke Malaysia dengan selamat. Harus juga diingatkan kepada anda diluar sana untuk peka terhadap undang-undang negara lain sebelum melawat atau menjalankan perniagaan di sana.

Sumber: Borneo Post Online

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds