Wanita Uyghur yang ditahan di “pusat latihan vokasional” ditindas serta diseksa secara psikologi dan fizikal, diracuni, dan dibunuh dengan suntikan, seorang bekas tahanan memberitahu The Epoch Times.

Gulbakhar Jalilova yang merupakan kaum Uyghur dan warganegara Kazakhstan, berusia 54 tahun, berkata dia menyaksikan kekejaman semasa dalam tahanan selama 15 bulan di kem wanita di ibu kota Xinjiang, Urumqi sebelum dia dibebaskan pada September lalu.

Kredit: Gulbakhar Jalilova

“Terdapat tahanan dari bilik saya yang meninggal dunia akibat dipukul dengan teruk, dan paku dimasukkan ke dalam jari mereka untuk membuat darah mencurah keluar,” katanya kepada The Epoch Times dalam temubual telefon dari Istanbul, Turki.

Gulbakhar, seorang ahli perniagaan yang ditahan pada Mei 2017, dituduh memindahkan wang sebanyak $ 17,000 kepada sebuah syarikat bernama Nur. Dia dibebaskan selepas didapati tidak bersalah.

Ketika ditahan, rakannya yang bernama Horiyat “dibaringkan … dia dibunuh dengan suntikan.”

“Dia disuntik tetapi tubuhnya masih hangat, dan tahanan lain diperintahkan untuk membersihkan mayatnya. Dia mati begitu sahaja di hadapan saya, ” jelas Gulbakhar.

Laporan yang mengejutkan itu dibongkarkan selepas pihak berkuasa Xinjiang bertindak untuk menjadikan pusat tahanan sah di sisi undang-undang pada bulan Oktober, dengan mengatakan mereka harus “mendidik dan mengubah” mereka yang dianggap Parti Komunis China (PKC) berisiko “tiga kuasa jahat” ekstremisme, separatisme, dan keganasan. ”

Uyghur, bersama dengan etnik minoriti lain seperti Tibet, serta pengamal agama yang berada di luar kawalan negara, termasuk House Christian dan Falun Gong, telah lama menjadi sasaran oleh PKC untuk transformasi melalui “pendidikan semula”.

Di Suruhanjaya Eksekutif Kongres Amerika Syarikat mengenai pendengaran China pada 29 November, Senator Marco Rubio berkata ramai pemerhati percaya gelombang penindasan semasa di China adalah “yang paling parah sejak revolusi budaya.”

Tetapi Beijing terus menekan naratifnya sehingga bulan Oktober, bahawa pusat tahanan rahsia sebenarnya kemudahan untuk pendidikan lanjut dalam “kemahiran vokasional” seperti belajar  membuat roti dan menjahit- di mana laporan ini bertentangan dengan banyak testimoni daripada bekas tahanan, termasuk Gulbakhar.

Duta Besar China untuk AS, Cui Tiankai, memberitahu Reuters bulan lalu, PKC sedang berusaha untuk “mendidik semula” Uyghurs untuk cuba “menjadikan mereka orang biasa untuk kembali ke kehidupan normal.”

Gulbakhar memberitahu The Epoch Times bahawa dia “tidak pernah melihat bilik darjah” ketika ditahan dan tuntutan pendidikan yang dinyatakan adalah pembohongan semata-mata.

Diyakini “lebih dari 1 juta” etnik Uyghur yang kebanyakannya ditahan di dalam kem tahanan besar, menurut angka yang dipetik oleh Suruhanjaya Eksekutif Kongres Amerika Syarikat di China (CECC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Padat, Sempit dan Kotor

Selepas beberapa jam soal siasat ke atas pemindahan wangnya, Gulbakhar digari, dipakaikan pakaian seragam berwarna kuning, dan dibawa ke SanKan Urumqi, yang dikatakannya menjadi kem untuk semua wanita seminggu sebelum kedatangannya.

Keadaan terlalu padat, sempit dan kotor, kata Gulbakhar, sambil menambah bahawa terdapat “kaum wanita yang masih muda berusia 14 tahun dan wanita berusia 80 tahun” di dalam biliknya.

Terdapat wanita yang pergelangan tangannya berdarah akibat digari dengan gari  seberat 5 kilogram bergeseran dengan kulitnya, bergilir-gilir tidur setiap malam kerana tidak ada ruang yang cukup untuk semua orang berbaring.

“Di dalam bilik kecil itu, ada sekitar 40 orang yang terbaring dan kira-kira 15 berdiri,” katanya.

Dan makanan semasa di dalam kem seperti “bukan makanan untuk manusia,” kata Gulbakhar, merujuk kepada roti seperti batu dan sup yang dibuat daripada air dan tepung jagung. “Ia tidak cukup untuk bertahan.”

Gulbakhar dan rakan-rakannya terbangun pada pukul 5.30 pagi setiap pagi, dan kemudian terpaksa berdiri dua baris dan menatap dinding sehingga jam 8 pagi. “Tidak bercakap, tidak ada pandangan ke sisi, atau anda akan dihukum.”

“Mereka menambatkan gari anda pada rantai di buku lali anda supaya anda tidak boleh berjalan.”

Wanita Uyghur dihadapkan ke bilik mereka sepanjang hari. “Pintu hanya terbuka untuk menghukum anda, itu sahaja,” katanya.

Penyeksaan Psikologi dan Fizikal, Dadah, dan Racun

Mereka yang berada di kem dipaksa makan ubat yang tidak diketahui setiap hari dan disuntik dengan bahan yang juga tidak diketahui setiap bulan yang “mengganggu emosi anda.”

“Suntikan ini membuatkan anda berasa seperti anda hilang ingatan. Anda tidak merindui keluarga anda, anda tidak berasa seperti anda mahu keluar. Anda tidak merasa apa-apa, ia merupakan perasaan yang sangat pelik,” jelas Gulbakhar.

Bercakap kepada The Epoch Times, Louisa Greve, Pengarah Hal Ehwal Luar di Projek Hak Asasi Manusia Uyghur, berkata ubat itu “membersihkan fikiran mereka tentang identiti peribadi mereka” sambil “mengisi semula fikiran mereka dengan deklarasi kesetiaan kepada PKC. ”

Pegawai kem juga meletakkan racun dalam makanan tahanan, kata Gulbakhar, dia menyaksikan pemilik restoran berusia 41 tahun jatuh ke lantai ketika sedang makan.

“Ada gelembung dan buih keluar dari mulut wanita tersebut seolah-olah dia diracun. Dia lumpuh. ”

Gulbakhar berkata wanita itu diseret keluar dari bilik dan “tidak pernah kembali.”

Seorang tahanan jururawat muda bernama Mabret yang bergegas mahu membantu wanita itu dihukum dengan segera oleh pegawai kem.

“Pegawai kem datang dengan tongkat besar dan mula memukulnya, diseret keluar dari bilik, dan terus memukulnya.”

Mabret kemudian dibawa ke bilik yang dipanggil “lubang hitam” – sel pengasingan – di mana dia dirantai ke “kerusi harimau” selama 10 hari, Gulbakhar teringat apa yang diberitahu oleh jururawat itu. Tikus telah diletakkan di dalam bilik sebagai kaedah gangguan pemakanan dan tidur.

“Mabret sangat takut dan terpaksa bertarung untuk menghalau tikus dari tubuhnya. Dia tidak tidur kerana dia tidak mahu dimakan hidup-hidup. ”

Dia hanya dibebaskan dari sel pengasingan selepas dia memohon maaf dengan surat yang mengatakan bahawa dia akan “melakukan yang lebih baik untuk PKC,” jelas Gulbakhar. Tetapi selepas pengalaman itu, Mabret tidak seperti dahulu lagi.

“Mabret kelihatan seperti hilang akal dan dia tidak bertindak normal. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengannya, daripada perlakuannya sehingga cara dia bertindak. ”

Penindasan Tradisi dan Budaya Uyghur

Tahanan dilarang menyentuh rambut sambil mencuci wajah mereka kerana tindakan itu seperti penyediaan untuk beribadah, kata Gulbakhar.

“Untuk Muslim, apabila wanita atau lelaki mengambil wuduk sebelum solat, mereka biasanya menyentuh rambut mereka untuk memastikan mereka membersihkan dengan betul. Pegawai kem tidak membenarkan tahanan melakukan perkara seperti itu -menyucikan diri untuk beribadah. ”

Penindasan ke atas tradisi Uyghur ini sebahagian besarnya melibatkan Sunni Muslim – menurut Omir Bekali- saksi yang pernah ditahan sebelum ini, dia turut memberitahu The Epoch Times  pada Oktober, dia terpaksa mengutuk kepercayaannya sambil memuji PKC.

Pada siang hari, Gulbakhar berkata kaum wanita terpaksa “menghafal lima lagu memuji PKC.”

“Saya terpaksa mempelajari lagu kebangsaan China, yang mana kami perlu menyanyinya setiap hari Isnin,” katanya.

Pemaksaan untuk menunjukkan kesetiaan terhadap PKC ini adalah untuk “mengubah” mereka yang ditahan, supaya mereka “tidak lagi mengikut identiti yang dianggap mengancam negara,” kata Greve.

Ini adalah “percubaan untuk mengubah pemikiran mereka supaya mereka tidak akan berani mempercayai agama mereka, dan menjadi ‘normal’ di mana bermaksud menyesuaikan diri untuk meletakkan kesetiaan mutlak yang sempurna kepada PKC,” katanya mengenai Republik Rakyat China.

“PKC memahami bahawa untuk mengekalkan kawalan, adalah perlu untuk melarang kemunculan sumber perpaduan yang bebas, seperti kumpulan gereja, atau kegiatan komuniti kaum Uyghur.”

Sumber: The Epoch Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular