Gulchehra Hoja mengingati zaman kanak-kanak yang indah semasa berada di Xinjiang, China. Semasa kecil Gulchehra sukakan tarian dan muzik serta gemar beraksi di hadapan kamera dengan berimpian menjadi seorang hos rancangan televisyen. Cita-cita itu tercapai. Gulchehra Hoja menjadi hos rancangan televisyen berbahasa Cina dan Uyghur untuk Xinjiang TV. Wajahnya yang jelita dikenali di seluruh Xinjiang.

Pada tahun 2001, semasa sedang bercuti di Eropah, Gulchehra mendengar satu laporan radio yang tidak ditapis, yang tidak pernah didengarinya sebelum ini iaitu mengenai protes di Xinjiang.

Kredit : The Epoch Times

Selepas itu, Gulchehra telah membuat keputusan untuk tidak kembali ke China dan memulakan tugas sebagai wartawan berbahasa Uyghur di luar China, dengan tugas pertama bersama Radio Free Asia (RFA) di Washington, Amerika Syarikat. RFA merupakan sebuah stesen radio yang memberi informasi untuk wilayah Asia yang tidak mendapat hak kebebasan bersuara dan kebebasan media. Pendengar RFA menjadi sumber yang membantu menyebarkan informasi mengenai penganiayaan yang dilakukan oleh rejim komunis China ke atas etnik Uyghur.

17 tahun sudah berlalu semenjak Gulchehra Hoja melaporkan penganiayaan rejim komunis China ke atas etnik Uyghur di China. Tetapi Gulchehra tidak menyangka satu hari beliau akan melapor dan memperkatakan mengenai penganiayaan yang telah dilakukan oleh rejim itu ke atas 25 orang ahli keluarganya sendiri termasuk adik lelaki kesayangan.

Menurut Gulchehra Hoja, “Adik saya berjarak usia satu setengah tahun daripada saya. Saya dapat merasakan dia sentiasa mengingati saya kerana saya juga bermimpi akan dirinya hampir setiap malam. Saya dapat merasakan dia sedang menderita. Saya juga menderita dengan perpisahan kami tetapi saya dapat merasakan dia lebih menderita.”

Kredit : The Epoch Times

Gulchehra mempunyai hubungan yang amat rapat bersama adik lelakinya, Kaisar Keyum. Mereka bersekolah bersama-sama dan tidak pernah berpisah semasa kecil. Katanya, “Jika saya sakit, dia tidak akan berenggang dengan saya. Jika saya tidak mahu pergi ke sekolah, dia juga tidak mahu pergi ke sekolah.” Nama mereka juga bermaksud sama seperti bunga. Gulchehra bermakna “seorang dengan wajah seperti bunga”, manakala Kaisar bermakna “bunga saffron”.

Semasa Gulchehra menyertai RFA, Kaisar masih menuntut di universiti. Apabila Gulchehra memutuskan untuk tidak pulang ke tanah air, kehidupan Kaisar berubah dengan serta-merta. Pihak berkuasa menahan dan menyoal siasatnya sehingga memaksanya berhenti dari universiti.

Gulchehra berkata, “Dua orang gadis menolak pinangan yang diuruskan untuknya kerana pihak polis telah datang mengugut keluarga gadis-gadis ini dengan membongkar latar belakang keluarga kami. Kata mereka, sanggupkah keluarga ini berdepan dengan masalah?”

Kaisar Keyum telah ditahan sebanyak 10 kali, dengan kali terakhir ditahan pada 28 September, 2017. Sehingga kini, Kaisar masih berada di dalam penjara.

Kredit : CNN

Gulchehra berasa terkejut dan amat sedih apabila diberitahu oleh ibunya, Qimangul Zikri bahawa pihak polis menyalahkan Gulchehra di atas penahanan Kaisar Keyum yang tidak bersalah. Pegawai polis itu telah berkata kepada ibunya, “Kakaknya bekerja dengan RFA, tidak cukup buktikah jika kami mahu menahannya?”.

Tindakan lebih keras oleh rejim komunis China ke atas etnik Uyghur semakin giat dijalankan semenjak tahun 2016. Kira-kira satu juta etnik Uyghur telah ditahan di dalam pusat tahanan pra-perbicaraan dan penjara, dengan kemudahan yang terhad, serta di dalam kem pendidikan semula. Kebanyakan mereka telah ditahan tanpa asas dan alasan yang kukuh menurut undang-undang China. Demikian dilaporkan oleh Human Right Watch’.

Pada bulan April 2017, Parti Komunis China memperkenalkan undang-undang dikenali ‘Xinjiang Uyghur Autonomous Region De-Extremism Regulation’.  Undang-undang yang dikuatkuasakan oleh rejim komunis bagi menangani ancaman keganasan yang dikaitkan dengan aktiviti dan golongan ekstremisme.

Kredit : Breitbart

Menurut kenyataan ‘Chinese Human Rights Defenders’ (CHRD) ,”Di bawah peraturan yang dikuatkuasakan, seorang itu boleh dipenjarakan di kem ‘pendidikan semula’ atau dipaksa menjalani sesi indoktrinasi jika didapati memproses makanan halal, menyimpan janggut dan jambang, memakai tudung kepala, dan memilih nama anak dengan perkataan Islam, enggan mendengar radio dan menonton televisyen tempatan, serta enggan melanggar peraturan berpuasa dan menjalankan tuntutan ajaran Islam.”

Kem pendidikan semula sudah lama dipraktikkan oleh rejim komunis China bagi menangani gerakan atau kumpulan yang mengamalkan ajaran bertentangan dengan ideologi komunis. Terdapat banyak laporan dengan sumber yang dipercayai, wujudnya kem pendidikan semula dan penjara yang melakukan penganiayaan terhadap golongan tertentu seperti etnik Uyghur di Xinjiang dan pengamal Falun Gong di seluruh China, yang berlarutan sehingga kini.

Kehilangan keluarga Gulchehra Hoja.

Kredit : The Epoch Times

Pada 3 Februari yang lalu, Gulchehra Hoja menerima panggilan telefon yang mengejutkan daripada anak perempuan jirannya dengan memberitahu, “Kamu tidak dengarkah, kakak, ibu bapa kamu dan kesemua ahli keluarga kamu, dengan 25 orang semuanya telah ditahan oleh kerajaan China pada hari yang sama.”

Gulchehra berkata, “Saya berasa amat terkejut dan tidak mempercayainya. Saya bertanya kepadanya, ‘Mengapa? Bagaimana kamu tahu?’ Dia berkata, ‘Saya tahu sebab ibu saya yang memberitahu.’ Kemudian, dengan segera, saya menelefon rumah dan tiada siapa yang mengangkatnya. Saya menelefon bapa, ibu, abang dan sepupu saya, semuanya dalam 30 orang. Tiada siapa yang mengangkat.” Gulchehra kemudian terduduk di ruang makan dengan berjujuran air mata.

Katanya, “Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan yang saya dilalui ketika itu. Perasaan yang amat bersalah. Semuanya kerana satu panggilan telefon yang saya buat di tanah air, menyebabkan kesemua mereka ditahan. Saya berasa seperti tidak berguna, tidak mengetahui di mana mereka telah dibawa, sama ada mereka masih hidup atau tidak!”

Kredit : RFA.org

Ibu Gulchehra telah dibebaskan pada 10 Mac, tetapi ahli keluarga yang lain masih ditahan, termasuk bapanya yang berusia 77 tahun dan berada dalam keadaan separuh lumpuh selepas mengalami strok. Bapanya ditempatkan di bilik hospital yang berada dalam kawalan.

Sejak penahanan kesemua ahli keluarganya, Gulchehra Hoja telah berucap dalam pelbagai forum di seluruh Amerika Syarikat mengenai kesukaran yang sedang dialami keluarganya. Beliau juga memberi keterangan pada bulan Julai di Kongres Amerika Syarikat. Human Right Watch dan Amnesty International telah melaporkan penahanan ahli keluarga Gulchehra Hoja dan pelbagai artikel mengenai perjuangannya menuntut keadilan telah disebarkan ke seluruh dunia.

Kredit : WorldUyghurCongress/Twitter

Tetapi rasa kesakitan yang dialami di dalam jiwanya tidak pernah reda. Gulchehra berasa bimbang dengan keadaan ibu saudaranya yang sudah tua ditinggalkan sendirian menjaga tiga orang cucu yang masih kecil. Setiap kali memasak kebab di dapur, Gulchehra teringatkan nasib Kaisar Keyum.

Gulchehra berkata, “Gambar di atas meja itu, sebenarnya diri adik saya yang sentiasa berada di dalam hati saya setiap hari. Saya berharap dapat bertemunya kembali. Jika bertemu, saya akan menciumnya dan berkata ‘Maafkan saya!’.”

Kredit : CNN

Gulchehra Hoja kini menetap di Virginia, Amerika Syarikat bersama suami dan tiga orang anaknya. Di dalam rumah itu terdapat satu ruang khas kenangan kaum Uyghur dan ahli keluarganya di tanah air termasuk seketul batu yang dihantar oleh bapanya. Gulchehra percaya bapanya mengirimkan batu kerana surat akan ditapis oleh kerajaan sebelum dihantar. Dengan menghantar batu, ia sebagai satu pemberitahuan daripada bapanya, supaya sentiasa tidak lupa kepada asal-usul bangsa, agama, budaya dan tanah air.

Sumber :  The Epoch Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular