PUTRAJAYA – Pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan senarai 14 produk kosmetik yang disahkan mengandungi racun berjadual.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, notifikasi kesemua 14 produk kosmetik yang disenaraikan telah pun dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

Kredit: New Straits Times

Jelas Hisham, mana-mana produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan juga diphenhydramine perlulah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Di samping itu, produk-produk yang mengandungi bahan seperti yang telah dinyatakan di atas perlulah mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pakar kesihatan profesional sebelum menggunakannya.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan tidak sekata.”

“Bagaimanapun, penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.”

Kredit: Google

Tambah beliau lagi, “Kesan daripada penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.”

Di samping itu, penggunaan tretinoin dalam produk kosmetik pula biasanya adalah bagi merawat masalah jerawat selain membantu mengurangkan kedutan pada wajah. Namun, sekiranya digunakan tanpa pengawasan pakar kesihatan, kulit akan menjadi hipersensitif kepada cahaya matahari dan menggelupas.

Penggunaan diphenhydramine pula dipasarkan bertujuan untuk mencerahkan kulit dan rawatan anti-penuaan seperti mengurangkan jeragat, kulit tidak sekata dan sebagainya.

14 produk kosmetik yang diarahkan untuk memberhentikan penjualan dan pengedaran di pasaran adalah:

  1. Diamond Gold Skin Care – Diamond Gold Day Cream
  2. Diamond Gold Skin Care – Diamond Gold Night Cream
  3. Diamond Gold Skin Care – Diamond Gold Treatment Cream
  4. Alora Night Glowing Cream
  5. Karisma Nightcream Kunyit
  6. Karisma Daycream
  7. Karisma Treatment Sarang Burung
  8. Seputih Melati Night Cream Whitening
  9. Seputih Melati Night Cream Glowing
  10. Majaja Serum Channtiq
  11. SYMA Magical Serum
  12. SYMA Facial Cleanser
  13. Khumaera Moistskin Cleanser
  14. Bao Shu Tang Snow Lotus Cream

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan yang berikutnya.”

“Bagi syarikat pula, mereka yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.”

Sumber: Sinar OnlineBH Online

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds