BALING – Menteri Kesihatan pada 9 Oktober mengesahkan bahawa dua orang  daripada pelanggan kedai laksa yang popular di Kedah meninggal dunia akibat keracunan makanan. Datuk Dr. Norhizan, selaku Pengarah Kesihatan Kedah berkata terdapat 10 kes keracunan makanan yang telah dilaporkan di negeri berkenaan, manakala sembilan kes, termasuk dua kematian, dilaporkan di Perak.

Datuk Dr. Norhizan Ismail | Kredit: China Press

Mangsa difahamkan mengalami gejala cirit-birit, muntah dan demam. Menurut Sinar Harian, mangsa yang meninggal dunia berumur 28 tahun, iaitu seorang lelaki kelainan upaya dari Kedah dan seorang lagi merupakan wanita 70 tahun yang berasal dari Perak. Kedai laksa yang popular berkenaan terletak di Kampung Seri Landak, Kupang, Kedah yang dikenali dengan nama ‘Laksa Kebok’.

 

 

Kredit: Sin Chew Daily

Mangsa berasal dari Kedah dilaporkan telah makan laksa berkenaan pada 4 Oktober lalu jam 9.30 malam, di mana ia dibeli oleh bapanya pada jam 5.30 petang hari yang sama. Pada 7 Oktober pula, dua lagi mangsa keracunan makanan telah dimasukkan ke Hospital Gerik selepas makan laksa daripada kedai yang sama pada hari sebelumnya. Salah seorang daripadanya merupakan wanita berusia 70 tahun yang telah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh namun meninggal dunia.

Terdapat 10 lagi kes keracunan makanan dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan mereka semua ketika ini sedang dirawat di Hospital Baling. Abdul Manan Abdul Hamid, bapa kepada mangsa yang meninggal dunia dari Kedah berkata bahawa arwah anaknya sangat menyukai laksa di kedai berkenaan. “Saya membeli 3 bungkus laksa daripada kedai itu untuk keluarga saya, tetapi kami mula mengalami cirit-birit setelah memakannya”, jelas beliau. Tiga daripada keluarganya termasuk arwah Abdul Rahim dimasukkan ke Hospital Gerik pada keesokan harinya.

 

Abdul Manan (kiri) | Kredit: Sinar Harian

Manakala anak kepada wanita yang meninggal itu, Norliza Shaari, pula berkata bahawa beliau tidak sangka akan kehilangan ibunya disebabkan oleh laksa. Arwah mengalami cirit-birit dan muntah pada 9 Oktober selepas memakan laksa pada malam semalamnya. “Ia bermula pada 1 pagi (6 Oktober), arwah dan saya mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah”, jelasnya pada Sinar Harian.

Dalam pada itu, pemilik kedai laksa berkenaan, Daud Ismail yang berusia 51 tahun terus mempertahankan bahawa juadah yang dijualnya tidak bersalah. Beliau yang telah berniaga sejak tahun 2003 menekankan bahawa laksa yang dibuatnya itu tiada sebarang perisa tambahan dan dibuat setiap hari. “Jika ia diracun, orang pertama yang akan mati ialah saya dan keluarga saya. Cucu saya yang berumur 11 bulan pun makan, dan tiada siapa yang mengalami keracunan makanan”, katanya pada Berita Harian. Beliau dan keluarga seramai 8 orang difahamkan memakan laksa setiap hari.

 

Daud Ismail | Kredit: China Press

Kementerian Kesihatan meminta agar mereka yang mengalami sebarang gejala keracunan makanan selepas memakan sesuatu untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin. Kedai berkenaan diarahkan untuk ditutup buat sementara waktu untuk pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Kedah dan Perak. Sampel makanan juga turut diambil bagi menjalankan ujian makmal.

 

Kredit: Sin Chew Daily

“Tidak perlu bimbang kerana kes berkenaan masih terkawal. Justeru, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memerhatikan aspek kebersihan dan memilih kedai makanan yang bersih kerana ia menjamin kualiti makanan yang dihidangkan”, akhir Dr. Norhizan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa terdapat pertambahan sebanyak 42 kes keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14 daripada kes terbabit dilaporkan di Kedah, tujuh di Perak dan 21 kes di Selangor. Katanya, hasil siasatan mendapati pesakit terbabit memakan laksa yang dibeli dari gerai laksa yang sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes terkini adalah sebanyak 61 kes.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sudah menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap premis terbabit dan siasatan mendapati ramuan laksa yang dijual tiada kaitan dengan ‘Iceberg Lettuce’ seperti yang tular di media sosial. Kita masih menunggu keputusan daripada sampel makanan yang sudah dihantar ke makmal untuk analisa. Selain itu, sampel najis daripada dua kes keracunan makanan di Baling adalah positif Salmonella spp,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: SaysBernamaSinar HarianChina Press

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds