HONG KONG – Taufan Mangkhut mengambil gelaran taufan terkuat di dunia pada tahun 2018 apabila membadai dan membawa kemusnahan kepada beberapa negara di laluannya iaitu Filipina, Hong Kong, Macau dan terkini di China pada tengahari Ahad, 16 September. Setakat ini angka korban akibat taufan, banjir kilat dan tanah runtuh di Filipina telah mencecah 59 orang dan 2 orang telah dilaporkan terkorban di Guangdong, China.

Kredit : REUTERS/BBC

Laporan Xinhua di China melaporkan, seramai 2.45 juta penduduk di wilayah Guangdong, China telah diarahkan berpindah apabila amaran Taufan Mangkhut akan membadai wilayah itu pada jam 5 petang waktu tempatan pada 16 September. Amaran taufan tahap 8 telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dengan jangkaan kelajuan angin 63 kilometer sejam.

Laporan turut menyebut, sebanyak 18,327 tempat perlindungan kecemasan telah diaktifkan di Guangdong dengan 632 premis pelancongan dan 29,611 tapak pembinaan di Guangdong dan Pulau Hainan telah diarah tutup.

Kredit : Getty Images /BBC

Loji kuasa nuklear Taishan dan Yangjiang yang berada di wilayah Guangdong juga telah diarahkan berada di dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebelum membadai China, Taufan Mangkhut telah meninggalkan kemusnahan yang teruk di Hong Kong dan Macau, apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran taufan tahap 10 dengan kelajuan angin kuat melebihi 230 kilometer sejam, yang telah menanggalkan bumbung-bumbung rumah, mencabut akar pokok dan menyebabkan kren-kren pembinaan bergoyang.

Kredit : REUTERS/BBC

Pusat bandar di Hong Kong dan Macau mengalami banjir kilat menyebabkan segala urusan pengangkutan turut tergendala dan terhenti. Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, Shenzen dan Guangzhou telah membatalkan semua 550 jadual penerbangan, melibatkan lebih 96,000 penumpang. Seramai 200 orang dilaporkan telah tercedera dengan tiada angka korban.

Filipina menerima kesan badai Taufan Mangkhut paling teruk apabila seramai 250,000 orang dilaporkan telah menjadi mangsa dan kehilangan tempat tinggal, yang kini berada di beberapa pusat perlindungan di utara Pulau Luzon. Taufan Mangkhut membadai utara Pulau Luzon, Filipina pada jam 1.40 pagi, 15 September pada kelajuan angin melebihi 270 kilometer sejam.

Kredit : AFP/CNN

Taufan Mangkhut yang melanda utara Filipina telah menyebabkan 51 kejadian tanah runtuh yang dilaporkan, dengan angin dan hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat di kawasan pedalaman. Angka korban yang dilaporkan seramai 59 orang pada 17 September dijangka terus meningkat dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh sedang giat dijalankan.

Kredit : AFP / Astro Awani

Laporan  BBC menyebut seramai 33 orang pelombong dikhuatiri maut selepas kem mereka telah tertimbus berhampiran bandar Benguet. 32 orang dilaporkan tercedera dan 42 mangsa masih hilang di Filipina.

Kredit : Getty Images/ CNN

Taufan Mangkhut masih membawa hujan lebat dan banjir di Hong Kong dan Macau, kini sedang membadai barat China di wilayah Shenzen, Fujian, serta Guangdong dan sedang bergerak menuju wilayah Guizhou, Chongqing dan Yunnan.

Kredit: South China Morning Post/Facebook

Sumber : CNN, BBC, Astro Awani, South China Morning Post/Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds