Menerima lamaran daripada insan tersayang terutamanya jika lamaran itu dilakukan dalam suasana yang penuh romantik dan kejutan pastinya akan meninggalkan kesan mendalam kepada diri kita.

Bagi pramugari ini, lamaran daripada teman lelakinya telah memberikan kenangan yang manis serta pahit sekali gus membuatkan kisah pramugari ini menjadi tular. Hal ini demikian kerana lamaran tersebut telah membuatkan pihak syarikat penerbangan memecat pramugari itu dengan serta-merta!

Kredit: TripAdvisor

Pramugari berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Jiao itu dikhabarkan sedang menjalankan tugasnya seperti biasa dalam pesawat China Eastern Airlines bagi perjalanan dari Xi’an ke Yichuan pada 19 Mei yang lalu.

Menurut laporan ET Today, ketika pramugari berkenaan sedang bertugas, dia secara tiba-tiba telah dikejutkan dengan kedatangan kekasihnya yang ingin melamarnya.

Si kekasih telah melutut di hadapan pramugari itu dan dengan bersaksikan kesemua penumpang lain, dia telah melamar Jiao dengan sejambak bunga dan cincin berlian. Sebaik sahaja menyatakan persetujuannya atas lamaran itu, Jiao menangis dan pasangan ini terus berpelukan manakala penumpang lain memberikan tepukan yang gemuruh di atas berita gembira itu.

Kredit: Seehua

Jiao turut sempat berterima kasih kepada semua penumpang di atas sokongan yang telah diberikan pada hari yang sungguh bermakna itu. Namun begitu, ada sesuatu menanti Jiao apabila dia telah dipanggil oleh pihak atasan berhubung kejadian berkenaan.

Dilaporkan, pihak atasan tidak senang dengan insiden lamaran yang berlaku semasa pramugari ini sedang melakukan tugasnya kerana ia boleh mengganggu gugat keselamatan penumpang lain.

Kredit: Seehua

Justeru, Jiao telah diberhentikan kerja dengan kadar segera atas alasan kelakuan yang tidak bertanggungjawab walhal Jiao langsung tidak mengetahui tentang rancangan teman lelakinya untuk melamar.

Penyebaran berita mengenai pemecatan Jiao telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di mana rata-ratanya menyatakan sokongan masing-masing kepada Jiao.

Jadi, kepada mana-mana teman lelaki dan mempunyai kekasih yang bekerja sebagai pramugari, pastikan anda membaca polisi syarikat penerbangan terbabit terlebih dahulu sebelum kejadian yang tidak diingini seperti ini berlaku kepada pasangan anda pula.

Kredit: Weibo Video/Youtube

Sumber: World of Buzz, Weibo Video/Youtube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds