Parti Komunis China (PKC) akan melakukan apa sahaja yang termampu demi menghalang kebenaran dari terbongkar. Semuanya hanya disebabkan oleh aktiviti perdagangan organ yang menguntungkan.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: NTD

Fakta yang lebih menakutkan adalah mereka ‘merampas’ organ-organ dalam manusia secara paksa dari pengamal Falun Gong. Falun Gong atau turut dikenali sebagai Falun Dafa, adalah satu disiplin meditasi berdasarkan prinsip-prinsip ‘Sejati, Baik dan Sabar’. Kerana gentar dengan populasi pengamal Falun Gong yang semakin berkembang bermula akhir 90-an, bekas Ketua Parti Komunis China, Jiang Zemin telah mengarahkan partinya untuk menghapuskan Falun Gong dan organ-organ para pengamalnya diambil untuk keuntungan.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: AFP Contributor/Getty Images

Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa, perasaan belas kasihan dan kemanusiaan masih lagi tertanam dalam lubuk hati seorang saksi yang pernah menyaksikan secara langsung ‘pembedahan’ penuaian organ dilakukan. Walaupun saksi mungkin akan berdepan dengan risiko tinggi tentang pendedahan ini, namun saksi tetap berani mendedahkan jenayah kejam yang dilakukan oleh rejim ini.

Menceritakan tentang pengalaman ngeri, saksi pertama yang merupakan seorang pegawai polis yang bekerja untuk Biro Keselamatan Awam Kota Jinzhou di Wilayah Liaoning, timur laut China menyatakan bahawa tidak semua organ yang dituai akan dijual, ada antaranya hanya disimpan sebagai stok simpanan. “Antara organ yang diekstrak adalah kornea, buah pinggang, jantung…malah mereka turut  mengambil otak, saya tidak pasti untuk tujuan apa ia dilakukan.”

Walaupun pegawai ini telah mendedahkan sedikit sebanyak tentang jenayah yang keji ini, namun, namanya perlu disembunyikan demi menjamin keselamatannya. Dia tahu bahawa PKC menjalankan aktiviti menuai organ manusia, dan dia turut mengakui bahawa dia pernah terlibat dalam sesi penyiksaan pengamal Falun Gong “berkali-kali”, tetapi untuk menyaksikan sendiri pembedahan penuaian organ secara paksa adalah keterlaluan buatnya.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Kyodo News/Getty Images

Kerana merasakan tekanan psikologi dan trauma yang hebat selepas menyaksikan tragedi kekejaman berdarah itu, pegawai berkenaan bersetuju untuk menjalankan temubual selama 30 minit dengan seorang penyiasat dari Pertubuhan Dunia Untuk Menyiasat Penganiayaan Terhadap Pengamal Falun Gong (WOIPFG) pada bulan Disember 2009, yang sebelumnya telah cuba mendapatkan keterangannya sebanyak tiga kali namun tidak berjaya.

“Aktiviti mengekstrak bermula pada jam 5 petang pada 9 April [2002], dan berlangsung selama 3 jam”

Kredit: The Epoch Times

Di sebuah bilik pembedahan yang terletak di tingkat 15 di Hospital Umum Tentera Shenyang, PLA, seorang wanita pengamal Falun Gong yang berusia 30-an telah dibedah tanpa kerelaannya.

“Kami telah menyeksanya secara kejam selama seminggu,” kata saksi. “Badannya dipenuhi dengan luka dan parut yang sangat banyak. Kami telah mengejutkannya dengan menggunakan pistol-pistol kejutan elektrik.”

Bercerita lanjut berkenaan pengalaman ngerinya, saksi menyatakan bahawa dua orang pakar bedah tentera telah ditugaskan untuk misi kejam ini. Seorang pakar bedah yang lebih tua adalah pakar dari Hospital Umum Tentera Wilayah Shenyang Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), dan seorang lagi pakar yang lebih muda adalah lulusan dari Universiti Perubatan Ketenteraan Kedua.

Saksi menegaskan bahawa kedua orang pakar itu mula membedah wanita itu semasa dia masih hidup tanpa menggunakan anestetik (ubat pelali).

“Mereka memegang pisau bedah itu di bahagian dadanya. Tangan mereka tidak gentar sama sekali.”

“Mereka membedah wanita itu, dia menjerit, wanita itu menjerit, dan melaungkan ‘Falun Dafa bagus.'”

Kredit: Robert Micheal/Getty Images

“[Dia] berkata, kamu boleh membunuh saya. Pada dasarnya, dia bermaksud kamu boleh membunuh saya, tetapi bolehkah kamu membunuh beratus juta pengamal kami, orang yang dianiaya kerana mempercayai iman yang benar. Pada masa itu, para doktor, doktor tentera, mula teragak-agak. Mereka memandang sekilas ke arah saya, dan kemudian memandang pegawai senior kami sepintas lalu, dan pegawai itu mengangguk. Dia kemudiannya meneruskan dengan saluran darah… pertama adalah pengambilan jantung, dan kemudiannya pengambilan buah pinggang. Apabila pisau bedah itu mula memotong saluran darah di dalam jantung, wanita itu mula meronta-ronta, ia sangat menakutkan. Saya boleh meniru jeritannya, tetapi saya tidak pandai. Jeritannya seperti sesuatu yang merobek, merobek, dan kemudian, ah, ahhh… mulutnya tercungap-cungap, matanya tersembul, mulutnya ternganga. Oh… saya tidak boleh terus bercakap tentang hal ini.”

Apabila ditanya nama wanita berkenaan, pegawai itu menyatakan kebimbangannya kerana jika dia mendedahkannya, secara tidak langsung dia juga telah mendedahkan identiti dirinya. “Saya tidak boleh memberitahu anda kerana terdapat hanya beberapa orang sahaja di dalam bilik operasi tersebut.”

Kredit: The International Coalition Against Human Trafficking

Mangsa diseksa dan diperkosa selama sebulan sebelum dibunuh.

Pegawai Jinzhou tersebut berusia 22 tahun pada masa dia menyaksikan sendiri pembedahan penuaian organ dijalankan di hadapan matanya. Dia mengatakan bahawa wanita itu ialah seorang guru sekolah menengah. Mangsa ialah isteri kepada pekerja kilang dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 12 tahun.

Kredit: The Epoch Times

“Sebelum kematiannya, dia telah diperkosa dengan begitu kejam. Ramai anggota polis yang terlibat. Apa yang mereka lakukan kepadanya, mereka menggunakan playar, spekulum faraj. Saya tidak tahu di mana mereka dapat peralatan itu. Perkara-perkara inilah yang saya saksikan secara langsung. Saya menyesal kerana saya tidak mengambil gambar ketika mereka melakukannya. Polis menderanya secara seksual. Mangsa mempunyai paras yang agak menawan, agak cantik. Mereka merogolnya… mereka melakukan begitu banyak perkara [terhadapnya].”

Saksi mengatakan bahawa semua penyeksaan ini tidak berlaku di Biro Keselamatan Awam, sebaliknya, ia dilakukan di sebuah hotel, di mana para pegawai telah menyewanya sebagai “pusat latihan”, atau dikenali sebagai penjara hitam.

“Kami menyewa 10 buah bilik di dalam sebuah bangunan, mereka melakukan perkara-perkara ini di bangunan itu.”

Dia memberi keterangan bahawa dia tidak pernah menyakiti wanita itu sendiri, tetapi merasakan penyesalan yang besar kerana dia tidak dapat menyelamatkannya.

“Semua anggota polis yang terlibat mempunyai pangkat yang lebih tinggi berbanding saya, saya tidak dapat menyelamatkannya.”

“Ada perkara lain yang lebih kejam, pada dasarnya… pada dasarnya… Saya rasa saya berhutang kepadanya, setiap kali saya berfikir tentang masa itu, saya rasa saya berhutang kepadanya. Saya tidak dapat menyelamatkannya.”

Pegawai itu mengimbau kembali apa yang terjadi pada hari itu apabila pembunuhan ngeri itu berlaku: “Pada masa itu, pistol saya telah dimuatkan. Ketika itu, saya juga ada berfikir bahawa saya mempunyai 10 peluru dalam pistol, dan terdapat 5 orang di dalam bilik itu. Saya mahu menembak mereka semua.”

Kerana berasa terlalu marah, saksi memarahi pakar bedah di bilik operasi berkenaan dengan menjerit, “Adakah kamu masih manusia?!” Pegawai berusia 22 tahun itu kemudiannya dikritik oleh pengarah Pejabat Politik Biro Keselamatan Awam. Akibat tindakan beraninya itu, saksi akhirnya meninggalkan Biro Keselamatan Awam dan dipindahkan ke kerajaan tempatan.

Apabila penyiasat memuji tindakan yang dilakukan oleh saksi dan mengatakannya sebagai “seorang lelaki yang hebat”, bekas pegawai itu tidak bersetuju, dengan mengatakan dia adalah “orang yang jijik”, sambil menambah bahawa dia merasa sangat bersalah kerana terlibat dengan dasar pembasmian Parti.

Namun, dia menambah, “Saya mahu lebih ramai orang seperti saya untuk tampil ke hadapan, dan mempunyai keberanian untuk menyatakan kebenaran.”

Berikut adalah rakaman temuduga berkenaan, dengan sarikata dalam bahasa Inggeris:

Kredit: Tian Yi/Youtube

Falun Dafa (atau Falun Gong) adalah amalan kehidupan yang berlandaskan prinsip Sejati, Baik dan Sabar. Kumpulan ini mengamalkan 5 kaedah senaman Qigong yang berkesan dalam menyembuhkan penyakit serta membantu di dalam peningkatan tahap kesihatan badan dan minda. Penindasan terhadap pengamal Falun Gong di China bermula pada 20 Julai 1999 oleh Jiang Zemin, bekas presiden PKC, atas dasar syak wasangka dan perasaan cemburunya. 

Sumber: NTDTian Yi/Youtube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular

Ad will display in 09 seconds