Kendra Jackson sentiasa menyangkakan bahawa dia mengalami masalah alahan yang sangat teruk. Malah, perkara tersebut turut disahkan oleh para doktor apabila dia mengadu mengenai hidungnya yang sentiasa berair.

“Ke mana sahaja saya pergi, saya sentiasa membawa sekotak tisu dan menyumbatkannya ke dalam poket,” ujar Kendra yang berasal dari Omaha, Nebraska kepada KETV.

“Ia seperti air terjun mengalir secara berterusan dan akan masuk semula ke dalam tekak.”

Selama bertahun-tahun mengalami keadaan yang tidak menyelesakan ini, Kendra telah berjumpa dengan ramai doktor serta pakar perubatan bagi mendapatkan jawapan dan rawatan kepada penyakitnya.

Kendra dikatakan mula mengalami bersin, batuk dan gatal hidung secara berterusan selepas dia terlibat dalam satu kemalangan kereta pada tahun 2013. Hanya pada tahun ini sahaja baru Kendra mengetahui punca sebenar mengapa hidungnya sentiasa berair. Kendra dilaporkan mengalami kebocoran cecair cerebrospinal (CSF) sebanyak 230ml setiap hari.

Menurut laporan Klinik Cleveland, kebocoran CSF terjadi apabila cecair di kawasan otak mengalir melalui satu lubang pada tengkorak yang biasanya berpunca daripada kecederaan traumatik.

Antara simptom yang dialami akibat keadaan ini adalah hidung berair, cecair di dalam telinga, sakit kepala, hilang penglihatan dan sebagainya. Keadaan ini juga jarang berlaku. Menurut statistik, hanya lima daripada 100,000 individu melaporkan mengalami kebocoran CSF setiap tahun.

Kemudian, Kendra mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan bagi menyelesaikan masalahnya itu. Sebaik sahaja prosedur pembedahan tamat, Kendra tidak dapat menyembunyikan rasa lega dan terujanya.

Pertama kali dalam tempoh lima tahun, Kendra tidak lagi perlu membawa tisu ke mana-mana dan dia mampu menikmati tidur malam dengan lebih lena.

Sumber: News.com.auNew York Daily News

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds