ATHENS – Pihak berkuasa Greece mengesahkan sekurang-kurangnya 81 orang telah terkorban dalam kebakaran hutan di sekitar Athens, ketika pasukan penyelamat menyerbu masuk rumah penduduk dan kereta yang terbakar bagi mencari mangsa yang terselamat.

Jumlah penduduk tempatan dan pelancong yang melarikan diri ke tepi pantai dan laut turut meningkat bagi mengelak kebakaran yang telah menusnahkan bandar dan perkampungan pinggir pantai Mati, Rafina dan Kineta berhampiran Athens.

Kredit : Sky News

Angin kencang dengan kekuatan 100km sejam menjadi penyumbang merebaknya kebakaran hutan di kawasan pelancongan terkenal ini pada hari Isnin (23 Julai), sehingga menyebabkan ramai penduduk tempatan dan pelancong hanya mempunyai masa kurang 20 minit untuk menyelamatkan diri. Dalam masa itu, api telah marak dan merebak dengan cepat sehingga memusnahkan kawasan hutan dan bangunan.

Kredit : Sky News

Ketua persatuan bomba dan penyelamat Greece, Dimitris Stathopoulus berkata, “Jika 1,000 kapal terbang yang datang memadam, ia tidak dapat menghalang bencana ini. Ia bagai sumpahan sekelip mata, api itu bagai penunu bagas yang menyasarkan kawasan penempatan.”

Kebakaran hutan sudah biasa berlaku di Greece tetapi sentiasa dapat dikawal. Kawasan Gunung Penteli sudah biasa mengalami kebakaran hutan sejak beberapa dekad.

Kredit : Sky News

Tetapi kejadian kebakaran hutan yang membawa maut di Mati adalah antara yang terburuk. Angin kencang telah memarakkan api ke kediaman penduduk dengan cepat, menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut dengan semua orang telah bertindak untuk melarikan diri. Dalam masa 20 minit, api menyambar apa sahaja yang berada di laluannya.

Angka korban kebakaran dijangka meningkat dengan usaha memadam kebakaran dan pencarian mangsa masih diteruskan.

Kredit : Thanassis Stavrakis/AP

Antara mangsa korban yang ditemui ialah 26 orang yang didapati berpelukan di antara satu sama lain berdekatan pantai, dan mereka dipercayai satu keluarga yang telah terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.

Jurucakap jabatan bomba, Stavroula Malliri dalam kenyataannya berkata, seramai 164 orang dewasa dan 23 orang kanak-kanak masih dirawat di hospital akibat mengalami kecederaan.

Kredit : Sky News

Ramai yang dapat menyelamatkan diri dari api yang marak dan asap yang menebal dalam kebakaran ini adalah mereka yang telah melarikan diri ke arah kawasan pantai dan laut.

Seorang penduduk di Mati, Kostas Laganos berkata, “Mujur kami dapat melarikan diri ke pantai, kerana api itu mengejar kami semua sehingga ke pantai. Ia seperti peristiwa gunung berapi Pompeii yang meletus.”

Pengawal pantai berkata mereka telah menemui 19 orang yang berada di dalam laut dan diselamatkan sementara 696 orang yang lain telah dijumpai di sekitar kawasan persisiran pantai oleh bot penyelamat.

Kredit : Angelos Tzortzinis/ Getty Images

Seorang wanita warga Poland dan anak lelakinya yang sedang bercuti di Mati adalah antara 10 orang yang lemas apabila sebuah bot telah karam dalam usaha pemindahan dari kawasan bencana.

Datuk Bandar Rafina-Pikermi, Evangelos Bournous berkata, “Sekurang-kurangnya 100 buah rumah telah hangus dijilat api di sini. Saya melihatnya dengan mata sendiri, ia satu bencana kebakaran yang dahsyat.”

Kredit : Sky News

Media tempatan menggambarkan kejadian kebakaran hutan antara yang terburuk ini sebagai satu tragedi kebangsaan. Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras terpaksa memendekkan lawatan rasminya ke Bosnia dan telah mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Alexis Tsipras juga mengumumkan perintah darurat di kawasan bencana dan memohon bantuan pasukan penyelamat dari Kesatuan Eropah bagi membantu memadamkan kebakaran hutan yang sedang merebak.

Kredit : Sky News

Setakat ini lebih 600 orang anggota bomba dan penyelamat tempatan sedang berusaha keras memadamkan kebakaran. Sementara pasukan bomba dan penyelamat dari Jerman, Sepanyol, Croatia dan Itali telah menyatakan hasrat memberi sokongan dan bantuan pesawat pemadam kebakaran.

Sumber: Epoch Times/ Sky News/ The Guardian/TIME(Facebook)

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Eropah GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds