Menteri Pendidikan Baharu, Dr. Maszlee Malik kini terkenal sebagai seorang menteri yang sering melawat sekolah secara mengejut.

Jika sebelum ini beliau masuk ke bilik darjah di Johor secara senyap-senyap, terbaru beliau mengulangi perkara itu dengan membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan Seberang Marang di Terengganu pada 8 Julai yang lalu.

Gaya bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu juga dilihat santai kerana tanpa sebarang protokol yang ketat, beliau bermesra dengan pelajar di dalam kelas.

Dalam satu sidang media, beliau mengingatkan akan meneruskan lawatan secara mengejut ke mana-mana sekolah tanpa jadual terperinci bagi mengenalpasti permasalahan dengan cara lebih berkesan.

Ketika lawatan itu, beliau mendapati proses pembinaan bangunan dua tingkat di sekolah itu telah melebihi jadual yang ditetapkan.

Sekolah itu juga menempatkan 620 pelajar serta tidak mempunyai dewan dan hanya menggunakan makmal sekiranya terdapat majlis-majlis tertentu.

Namun berikutan kelewatan pihak kontraktor dalam menyiapkan bangunan dua tingkat yang sepatutnya menempatkan lapan bilik darjah, makmal itu digunakan sebagai kelas kepada 56 orang pelajar Tahun Dua.

“Semua kontraktor perlu bersedia kerana saya akan muncul bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Ada beberapa negeri yang mempunyai projek terbengkalai dan ada yang serius termasuk di Borneo. Mereka (kontraktor) perlu kembali kepada jadual asal dan sekiranya lewat tindakan akan menyusul,” katanya seperti yang dipetik BERNAMA.

Beliau turut mengingatkan para kontraktor agar mengubah mentaliti dengan memastikan projek mampu siap daripada jadual yang diberikan tanpa mengabaikan aspek kualiti.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular

Ad will display in 09 seconds