Kasih ibu itu amat besar ertinya sehingga nyawa sendiri sanggup dipertaruhkan demi menyelamatkan nyawa anak-anak. Ini telah dilakukan oleh Danielle Dick ketika diberitahu bahawa dia sedang mengandungkan anak kembar dan menghidap kanser.

Pada waktu mengandungkan kembar tersebut, Danielle mengalami sakit kepala yang amat teruk. Dengan menganggap ia hanya simptom biasa bagi wanita hamil, perkara itu telah dibiarkan sehingga pada satu hari Danielle mengalami masalah pertuturan.

Kredit foto: GoFundMe

Pada usia kandungan kembarnya mencecah 17 minggu, Danielle, 32 tahun telah didiagnos menghidapi kanser melanoma tahap 4 yang telah merebak ke bahagian otak dan perut.

Lima tahun yang lalu sebelum melahirkan anak pertama, Danielle telah diisytiharkan bebas dari penyakit kanser kulit yang telah dialaminya.

Kredit foto: GoFundMe

Doktor telah mengesahkan, Danielle masih berpeluang untuk hidup dalam masa lima tahun lagi dengan kebarangkalian 20% selamat sekiranya rawatan radiasi dan kemoterapi dilakukan pada kadar segera.

Dengan rawatan melibatkan radiasi bermakna kandungan kembarnya berada dalam keadaan bahaya dan akan meninggal dunia. Danielle membuat keputusan untuk tidak meneruskan rawatan pemulihan, dan bertekad meneruskan kandungan kembarnya yang tidak bersalah.

Bayi kembar Colby Tyler dan Reagan Danielle dilahirkan pramatang pada usia 23 minggu dengan berat 1.4 kilogram pada bulan Julai 2017.

Kredit foto: GoFundMe

Danielle telah selamat melahirkan pasangan kembar ini tetapi tahap kesihatannya semakin merosot selepas itu kerana kanser yang dialami telah merebak dan masanya untuk bersama keluarga semakin terhad.

Doktor yang merawat berkata kanser melanoma yang dideritai Danielle berpunca dari tahi lalat yang tertinggal semasa rawatan kanser kulit pada tahun 2011.

Kredit foto: GoFundMe

Pada tahun 2010, suami Danielle, Tyler menyedari kewujudan tahi lalat aneh di bahagian belakang Danielle dan pasangan ini telah berjumpa pakar dermatologi untuk membuat pemeriksaan, namun mereka telah diberitahu ia bukan satu perkara yang perlu dirisaukan.

Namun setelah tahi lalat itu berubah menjadi satu bentuk yang lebih aneh, mereka telah berjumpa doktor pakar kulit sekali lagi dan ia telah disahkan sebagai kanser kulit melanoma dan satu pembedahan membuang kanser tersebut telah dijalankan pada tahun 2011.

Kredit foto: GoFundMe

Selepas lima tahun menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan berkala, Danielle disahkan telah bebas daripada kanser kulit. Pasangan Danielle dan Tyler telah dikurniakan anak sulung perempuan bernama Taylor pada tahun 2015.

Pada penghujung tahun 2016, keluarga bahagia ini menerima berita gembira apabila Danielle disahkan telah hamil anak kembar. Namun ia disusuli dengan berita sedih apabila Danielle juga disahkan menghidapi kanser melanoma tahap 4 yang telah merebak ke bahagian perut dan otak.

Kredit foto: GoFundMe

Dalam tempoh kehamilan itu, Danielle telah menjalani beberapa siri pembedahan membuang tumor di bahagian otak dan perut dan dinasihatkan oleh doktor pakar untuk menjalani rawatan radiasi dan kemoterapi.

Danielle enggan berbuat demikian dan menangguhkannya sehingga kandungan kembarnya dilahirkan. Pada ulang tahun perkahwinan kesembilan Danielle dan Tyler, bayi kembar Colby dan Reagan dilahirkan lebih awal kerana doktor telah mengesan kewujudan sel kanser yang telah merebak ke bahagian plasenta.

Kredit foto: GoFundMe

Bayi kembar Colby dan Reagan membesar dengan sihat dan keadaan Danielle juga semakin baik dengan tiada tanda tumor dan kanser baru dikesan pada otaknya. Namun pada bulan Mac 2018, selepas pemeriksaan imbasan terkini, kanser tersebut telah merebak dan menyerang bahagian tulang belakang dan otak dengan lebih banyak.

Suami Danielle, Tyler berkata dalam nada yang sedih semasa isterinya sedang nazak, “Penyakit leptomeningeal telah merebak dengan pantas dan tiada sesiapa yang dapat menjangkakannya. Kami mempunyai masa yang cukup untuk berkumpul bersama-samanya.”

Kredit foto: GoFundMe

Kakak Danielle, Rachel Miller pula berkata, “Kami berasa amat sedih dan kecewa. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan kami tanpa Danielle.”

Walaupun Danielle Dick telah berusaha dengan bersikap tabah dan gigih bertarung nyawa untuk diri sendiri dan anak-anaknya, akhirnya wanita ini telah tewas dan meninggal dunia 10 bulan kemudian.

Danielle Dick telah menghembuskan nafas terakhir pada 26 April 2018 di pangkuan suami sambil dikelilingi ahli keluarga lain yang amat dikasihinya.

Kredit foto: GoFundMe

Mungkin tempoh jangka hayat 5 tahun itu tidak perlu. Semuanya sudah cukup buat diri Danielle melihat impiannya membina keluarga bahagia telah tercapai dengan kesemua anak-anaknya dapat mengenali Danielle sebagai ibu penyayang yang sanggup berkorban nyawa demi kehidupan mereka.

Lihat video di bawah bagaimana tahi lalat itu boleh dikenal pasti sebagai kanser kulit.

Sumber: Dailymail

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds