Serangga perosak seperti lipas merupakan makhluk yang digeruni oleh kebanyakan manusia. Walaupun bersaiz jauh lebih kecil berbanding manusia, kewujudan lipas mampu menggugat keberanian ramai sehingga membuatkan yang lelaki menjerit seperti wanita, yang wanita mengeluarkan suara jantannya dan tidak juga kurangnya yang akan menangis ketakutan.

Begitulah hebatnya penangan kuasa si lipas…

Namun, ada satu lagi kisah mengerikan berlaku kepada seorang wanita Amerika bernama Katie Holley. Pada tanggal 14 April lalu, Katie telah terjaga dari tidurnya setelah merasakan ada ‘sesuatu’ merangkak pada telinga kiri.

Kredit foto: NBC

Malah, Katie juga turut merasai ada sesuatu yang sejuk memasuki telinganya. Pada mulanya, Katie menyangkakan mungkin ada seketul ais kecil telah memasuki telinganya. Jadi, dia segera pergi ke tandas, mengambil putik kapas lalu mengorek telinganya.

Bagaimanapun, ‘benda’ berkenaan nampaknya bergerak-gerak dan masuk makin ke dalam lubang telinga Katie. Lebih menggerunkan lagi, apabila Katie mengeluarkan putik kapas itu, Katie mendapati ada dua pasang kaki halus berwarna hitam keperangan.

Katie semakin panik. Dia terus memanggil suaminya, Jordan Holley untuk mendapatkan bantuan. Dengan menggunakan alat penyepit, suaminya berjaya mengeluarkan beberapa lagi pasang kaki halus dipercayai sebagai kaki serangga palmetto atau lipas kayu Florida.

Kredit foto: Entomology & Nematology

Anehnya, beberapa minggu sebelum kejadian, Katie telah mengupah pekerja penghapus serangga untuk melakukan semburan racun di setiap bilik rumahnya yang terletak di Melbourne, Florida.

Nampaknya, terdapat seekor lipas yang terselamat daripada semburan berkenaan dan memutuskan untuk menjadikan telinga Katie sebagai habitat baharunya.

Pada malam tersebut, mereka segera menuju ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Menurut Katie, semasa dalam perjalanan, dia dapat merasakan lipas tersebut bergerak-gerak di dalam telinganya.

Setibanya di sana, doktor terus meletakkan cecair khas bertujuan untuk membunuh lipas berkenan. Setelah itu, doktor segera mengeluarkan beberapa bahagian lipas yang terpisah untuk ditunjukkan kepada Katie dan suaminya.

Kredit foto: SELF

Sekitar jam 3.45 pagi, mereka pulang setelah diberikan ubat antibiotik dan ubat air untuk dititiskan di dalam telinga. Mereka turut singgah di kedai untuk membeli alat penutup telinga bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang kembali.

Kredit foto: Michaelthesoundguy

Bagaimanapun, bahagian yang paling seram dalam kisah ini belum lagi berakhir…

“Telinga saya menjadi kebas selama 24 jam tapi saya masih dapat merasakan kesakitan pada telinga setiap kali menguap. Tidak, mimpi ngeri belum lagi berakhir,” kata Katie.

Pada awalnya, Katie berpendapat bahawa kesakitan di dalam telinganya itu adalah berpunca daripada cubaan doktor yang mengorek telinganya semasa hendak mengeluarkan lipas. Namun, setelah seminggu, Katie masih lagi merasakan kesakitan tersebut belum pulih.

Kira-kira sembilan hari kemudian, Katie kembali semula ke klinik dan meminta doktor untuk memeriksa telinganya semula. Jadi, aktiviti mengorek telinga dimulakan sekali lagi dan ternyata, doktor menjumpai beberapa lagi kaki-kaki kecil berada di dalam telinga Katie!

Usaha mengeluarkan sisa-sisa lipas diteruskan dan doktor terkejut setelah menjumpai lebih daripada enam bahagian lipas dari dalam telinga Katie.

Kredit foto: SELF

Katie kemudian dirujuk ke bahagian Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di mana pakar telah meletakkan alat mikroskop di dalam telinganya untuk melihat jika ada lebihan sisa lipas di dalamnya. Dengan menggunakan alat berupa gunting, pakar berjaya mengeluarkan beberapa bahagian lipas lain seperti kepalanya, sesungut dan bermacam-macam lagi!

Pasti Katie sangat trauma dengan kejadian ini. Tidak sangka selama ini ada lebih daripada seekor lipas berada di dalam telinganya. Apa-apa pun, doktor meyakinkan Katie bahawa dia telah membersihkan telinganya daripada segala bangkai serangga yang ada.

Mungkin selepas ini, kita juga harus memakai penutup telinga setiap kali tidur malam. Bahaya dan cukup menggelikan!

Sumber: SAYS

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds