Aktiviti mengemis kini dianggap sebagai satu kerjaya bagi segelintir individu setelah berjaya memperoleh pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan dengan mengemis di persimpangan lampu isyarat sekitar bandar Johor Bahru.

Malah, kumpulan pengemis ini juga dikatakan sering menukar lokasi bagi menjalankan kegiatan mereka agar tidak dihidu oleh pihak berkuasa. Malah, mereka turut dikatakan melakukan aktiviti ini pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Normawarni Mahat, kumpulan pengemis ini menjadikan aktiviti berkenaan sebagai ‘kerjaya’ memandangkan hasil yang diperolehi adalah lumayan.

Kredit: Muhammad Asyraf Sawal/NST

“Malah, lokasi berkenaan (persimpangan lampu isyarat) juga lebih mudah bagi mereka melarikan diri jika terserempak dengan kenderaan penguatkuasa terutama ketika berlaku kesesakan lalu lintas”.

Kredit: The Coverage

Tambah Normawarni lagi, “Kami berharap orang ramai tidak mudah simpati kerana ia mendorong golongan berkenaan memilih jalan mudah bagi mendapatkan sumber kewangan dan terus bermaharajalela bebas menjalankan aktiviti berkenaan”.

Sejak tahun lalu, pihak JKM turut dilaporkan menerima 10 aduan daripada orang awam mengenai kegiatan tersebut yang seringkali dijalankan di persimpangan lampu isyarat sekitar Johor Bahru.

Kredit:  Zain Ahmed/NST

Menerusi aduan yang diterima, pihaknya berjaya menyelamatkan beberapa orang pengemis iaitu dua wanita Rohingya berusia 30-an, empat kanak-kanak berusia enam bulan hingga 3 tahun, seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang berasal dari Vietnam dan tiga lelaki warga tempatan yang berusia antara 50-an hingga 60-an.

Kredit: Edisi Rakyat

Jelas Normawarni lagi, ketiga-tiga lelaki warganegara Malaysia itu pernah ditangkap pada tahun 2016 atas kesalahan mengikut Akta Orang-Orang Papa 1977. Setelah siasatan lanjut dilakukan, mereka didapati terlibat dalam aktiviti berkenaan kerana mempunyai masalah kewangan yang berpunca daripada tiada pekerjaan tetap, ketagihan alkohol dan juga merupakan bekas penagih dadah.

Pihak JKM bagaimanapun tidak mempunyai maklumat terperinci bagi membuktikan sama ada kumpulan pengemis berkenaan dilindungi sindiket tertentu atau tidak.

Kredit: Perak Today

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan mengenai aktiviti berkenaan boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Johor Bahru di talian 07-2232606 atau laporkan kejadian menerusi Talian Nur di 15999.

Sumber: BH Online 

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds