Tiada manusia yang sempurna di dunia ini tapi kita tahu dalam kalangan kita, masih terdapat segelintir individu memiliki hati yang sangat tulus.

Ady Sacol yang berasal dari Filipina telah melalui satu pengalaman perit semasa percutiannya di Phuket, Thailand baru-baru ini. Menerusi satu entri yang dimuat naik di Facebook pada 5 Mac lalu, Ady menjelaskan bahawa dia bersama-sama rakan lain telah menyewa motosikal dan menunggang selama 9 jam mengelilingi Phuket.

Bagaimanapun, malang itu tidak berbau dan Ady telah mengalami kemalangan motosikal yang menyebabkan kecederaan serius pada lutut dan buku lalinya. Kejadian ini menyebabkan Ady mengalami kesukaran untuk berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Kredit: Ady Sacol

Apa yang berlaku kemudian membuatkan Ady sangat terharu kerana berpeluang bertemu dengan seorang insan yang sangat baik hati.

Ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, Ady telah bertemu dengan seorang remaja lelaki dari Malaysia bernama Sean. Sean yang berusia 13 tahun terpaksa menarik diri daripada perlawanan bola keranjang dan pulang semula ke Malaysia setelah mendapat perkhabaran bahawa datuknya telah meninggal dunia.

Kredit: Ady Sacol

“Sean duduk di sebelah saya dan rasanya dia tahu saya mengalami kecederaan memandangkan saya menggunakan kerusi roda. Dia kemudian tanya ‘Adakah awak lapar, beritahu saya apa yang awak mahu makan?’. Ketika saya mahu mencapai beg dompet, Sean berkeras mahu membayar sendiri”.

Kredit: Ady Sacol

Setelah menunggu, mereka kemudian terpaksa berpisah mengikut haluan penerbangan. Namun begitu, Ady memaklumkan bahawa Sean langsung tidak meninggalkannya. Sebaliknya, Sean gigih membawa bagasi milik Ady seberat 15kg dari Pintu 4 ke Pintu 14.

“Dia (Sean) menemani saya dengan menggunakan laluan istimewa yang digunakan untuk mengangkut penumpang kelainan upaya”.

Kredit: YouTube

“Sebaik sahaja tiba di KLIA2, tiada kemudahan kerusi roda disediakan. Jadi, Sean dengan beg saya seberat 15kg itu cuba sedaya-upaya membawa saya seperti abang kandungnya atau pakcik atau rakan baiknya sehingga kenderaan buggy tiba”.

Bagaimanapun, mereka mendapati tiada kemudahan buggy mahupun kerusi roda pada ketika itu. Jadi, Sean memutuskan untuk menggunakan kereta sorong untuk membawa Ady ke bahagian imigresen.

Kredit: Copy Book

Setelah itu, Ady mengucapkan ribuan terima kasih dan bersyukur dengan pertolongan daripada Sean. Mereka berpisah untuk menyelesaikan urusan pemeriksaan paspot masing-masing.

Bagaimanapun, Sean masih lagi belum meninggalkan Ady sebaliknya dia memutuskan untuk membelikan jus untuk Ady sambil menunggu di luar bangunan bersama-sama.

Kredit: Ady Sacol

Semasa menunggu, Sean sempat memunggah keluar barangan milik Ady daripada kereta sorong tersebut dan langsung tidak meninggalkannya sendirian. Sehinggalah pemandu Sean akhirnya tiba di kawasan menunggu untuk mengambil Sean, barulah mereka berpisah.

Ady turut sempat memberikan sekeping wang kertas Filipina dengan nota istimewa kepada Sean.

Kredit: Ady Sacol

“Sean, awak masih ingat duit Filipina yang saya berikan pada awak dengan tulisan padanya? Saya kata duit itu tiada nilai langsung tetapi mesej yang tertulis padanya adalah lebih berharga dan tidak ternilai. Simpan wang tersebut sebagai kenangan kepada masa singkat yang kita luangkan bersama”.

“Ini bukan satu kebetulan. Awak adalah pelindung saya dan rasa berterima kasih saya tidak mampu menandingi kebaikan awak. Saya akan ingat awak sehingga ke akhir hayat”.

Kredit: Ady Sacol

Pengalaman yang dialami oleh Ady ini ternyata telah membuka matanya untuk sentiasa menghargai perhubungan sesama manusia, bukan setakat dikelilingi oleh kumpulan kecil individu yang terdiri dalam kalangan rakan-rakan sahaja.

Kredit: Ady Sacol

Dengan mewujudkan hubungan baik sesama manusia di dunia ini, segala-galanya pasti akan menjadi lebih indah.

Kredit: Ady Sacol

Kepada Sean, terima kasih kerana menjadi seorang insan yang sangat bertanggungjawab walaupun masih muda. Terima kasih kerana sudi membantu orang yang lebih memerlukan tanpa mengira perbezaan umur, warganegara, agama dan sebagainya. Awak telah membuatkan rakyat Malaysia bangga!

Sumber: Facebook/Ady Sacol

Era Baru

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular

Ad will display in 10 seconds