Syarikat pembuat kamera aksi, GoPro Inc. kini semakin dilanda masalah dan dilaporkan telah membuang lebih daripada 20% tenaga pekerjanya. Malah, dua eksekutif tertinggi dalam syarikat berkenaan turut dilaporkan menarik diri daripada meneruskan perkhidmatan.

Kredit: Tech BakBak

Pada Isnin yang lalu, syarikat ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk membuat pengurangan kos yang dikatakan mampu membantu menjimatkan sebanyak RM319.4 juta!

Antara tindakan yang telah dilancarkan bagi tujuan berkenaan adalah dengan mengurangkan jumlah pekerja daripada 1,254 orang kepada 1,004. Malah, syarikat berkenaan turut bertindak mengurangkan pampasan tunai Ketua Eksekutif GoPro iaitu Nicholas Woodman kepada RM4 sahaja berbanding RM3.2 juta pada tahun 2016.

Kredit: Fortune

Di samping itu, dilaporkan Ketua Pegawai Operasi GoPro iaitu Charles Prober turut akan meninggalkan syarikat berkenaan pada tanggal 16 Februari manakala Timbalan Presiden Kanan, Sharon Zezima pula akan meletakkan jawatan berkuatkuasa pada tarikh 30 Mac ini.

Walaupun dikenali di serata dunia sebagai salah satu syarikat pengeluaran kamera terbaik, GoPro didapati mengalami kesukaran untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.

Kredit: Gadget Flow

Hal ini demikian kerana kebanyakan individu cenderung untuk mengambil gambar dengan menggunakan telefon pintar masing-masing. Jadi, mereka tidak memerlukan kamera yang berlainan bagi mendapatkan hasil gambar terbaik. Selain itu, pengguna GoPro juga hanya akan membeli kamera baharu sekiranya gajet berkenaan telah mengalami kerosakan.

Menerusi tinjauan penganalisis dari FactSet, GoPro telah memaklumkan akan jangkaan pendapatan sebanyak RM1.35 bilion bagi suku keempat. Namun, jumlah tersebut adalah penurunan sebanyak 37% dari suku yang sama pada tahun sebelumnya. Malah, jumlah berkenaan mungkin akan jatuh lebih jauh berbanding anggaran sebenar.

Nama GoPro turut terjejas apabila salah satu produknya iaitu dron Karma yang dilancarkan pada 2016 didapati mengalami masalah teknikal hanya selepas dua minggu berada di pasaran. Laporan menunjukkan sesetengah dron akan hilang kuasanya ketika berada tinggi di udara sekali gus menyebabkan dron jatuh dari ketinggian yang tinggi dan rosak.

Hal ini membuatkan GoPro terpaksa menarik semula sebanyak 2,500 dron Karma pada November 2016 dan terus kehilangan kepercayaan dalam pasaran.

Menurut Woodman, “GoPro komited dalam mengubah perniagaan secara menyeluruh pada tahun 2018. Kami menjangkakan bahawa pada masa hadapan, pelan tindakan kami yang ditambah dengan model perbelanjaan operasi yang lebih rendah akan membolehkan GoPro kembali kepada keuntungan dan pertumbuhan pada pertengahan tahun 2018”.

Bagaimanapun seorang penganalisis di Penyelidikan CFRA berpendapat bahawa GoPro ‘mungkin boleh menambah nilai kepada syarikat lain dan menjadi sebahagian kecil daripada syarikat yang besar’.

Berdasarkan kepada laporan Bloomberg, GoPro telah mengambil khidmat nasihat daripada JPMorgan dan kemungkinan besar syarikat ini akan berpindah kepada pasaran komputer atau telefon dengan mencipta kamera khusus untuk jenama HP atau Apple.

Sumber: Sci-Tech Today dan Oriental Daily

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Era Baru

Share
Kategori: BISNES Ekonomi GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds